Bek kiri skuad kebangsaan Indonesia, Pratama Arhan Alif Rifai menganggap kejayaan menundukkan Malaysia 4-1 pada aksi terakhir saingan kumpulan B Piala AFF Suzuki 2020 malam tadi merupakan hasil kerja keras ditampilkan semua pemain.

Kerap naik ke atas untuk membantu pasukan merangka serangan serta kental bertahan, pemain berusia 19 tahun itu jelas mempamerkan aksi cemerlang apabila turut berjaya meledakkan jaringan daripada luar kawasan penalti pada awal babak kedua.

Persembahan meyakinkan itu juga turut menyaksikan beliau telah dipilih sebagai pemain terbaik pada perlawanan yang diadakan di Stadium Nasional, Singapura itu.

Melihatkan kepada pencapaian hebat menewaskan musuh tradisi tersebut, Pratama enggan terbuai dengan kejayaan itu dan sebaliknya mahu mempamerkan aksi lebih baik di peringkat separuh akhir.

“Saya mengucapkan rasa syukur kerana diberikan kemenangan dan hasil [keputusan perlawanan] yang terbaik. Keputusan ini berjaya dicatatkan kerana kerja keras satu pasukan, kakitangan dan jurulatih.”

“Perlawanan seterusnya kami akan lebih bekerja keras untuk kami melayakkan diri ke perlawanan akhir,” ujar Pratama Arhan menurut sumber Goal Indonesia.

Kemenangan penting dilakarkan bertemu Malaysia itu juga meletakkan Indonesia di tangga teratas dengan mengumpul 10 mata [terikat bersama Vietnam tetapi Indonesia memiliki kelebihan jaringan] untuk skuad Garuda menempah pertemuan separuh akhir menentang tuan rumah, Singapura.

Manakala satu lagi pertemuan separuh akhir melibatkan pemenang lima kali, Thailand yang akan membuat perhitungan dengan juara bertahan, Vietnam.