Pengurus Chelsea Graham Potter sekali lagi menyatakan dia bangga dengan prestasi anak anak buahnya walaupun kalah.

Terbaru Chelsea kalah 0-1 di tangan juara bertahan Manchester City dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, di halaman sendiri, di Stadium Stamford Bridge.

Kekalahan yang membuatkan Chelsea kini berada di tangga kesepuluh dalam carta Liga Perdana Inggeris. Pooter pula hanya mampu membimbing The Blues meraih 6 mata daripada 24 yang ditawarkan dalam 8 perlawanan terakhir.

The Blues terpaksa tampil dengan krisis kecederaan yang menimpa pemain mereka.

Potter menggantikan Raheem Sterling dengan Pierre-Emerick Aubameyang selepas hanya lima minit dan Christian Pulisic digantikan dengan Chukwuemeka pada minit ke-22 kerana kecederaan. Kecederaan kepada dua pemain itu menambah senarai panjang pemain Chelsea yang cedera.

Sebelum ini Chelsea sudah kehilangan khidmat Reece James, Ben Chilwell dan Wesley Fofana yang mengalami kecederaan.

Walaupun terpaksa kehilangan dua pemain pada awal separuh masa pertama, Chelsea beraksi lebih baik. The Blues sebenarnya bergelut pada separuh masa kedua kerana Man City tampil cemerlang pada 20 minit terakhir.

“Apabila kami kehilangan Raheem dan Christian begitu cepat, pemain lain memberikan segala-galanya,” kata Potter selepas tamat perlawanan.

Potter menegaskan dia bangga kerana Chelsea menunjukkan permainan bersemangat menentang pasukan teratas. Ini menunjukkan bahawa Chelsea berada di landasan yang tepat.

Dia mahu pemainnya kekal bersatu walaupun dalam keadaan sukar. Kehilangan pemain pada permulaan perlawanan jelas mengecewakan mereka. Tetapi pemain lain telah memberikan yang terbaik.

“Kami sentiasa perlu bertanggungjawab tetapi berharap orang ramai melihat keseluruhan konteks dan melihat di mana kami berada dan apa yang perlu kami hadapi,” jelas Potter.

Menurutnya, peminat akan sentiasa berada di belakang pasukan untuk memberikan sokongan. Gol kemenangan Man City dijaringkan oleh pemain gantian Riyad Mahrez yang mendapat umpan rakan pemain simpanan Jack Grealish.

Chelsea kini perlu bekerja keras dalam usaha mereka mengelak daripada terlepas pertandingan Eropah pada musim hadapan. Harapan untuk beraksi di UCL kian samar. Namun mereka masih boleh cuba menyelamatkan aksi di UEL.