Pengurus Chelsea, Graham Potter dikatakan berminat untuk membawa masuk bekas anak didiknya di Brighton, Alexis Mac Allister bagi bergandingan bersama Enzo Fernandez dalam usahanya memperkuatkan jentera tengah Chelsea.

Dua pemain tersebut memainkan peranan penting buat Argentina dalam kempen Piala Dunia 2022 di Qatar sehingga berjaya membantu La Albiceleste muncul juara dengan menundukkan Perancis di pentas final.

Ketika Fernandez memberikan impak pantas dalam mengemudi jentera tengah buat Chelsea, Potter melihat ada kemungkinan untuk merekrut Mac Allister pula pada jendela perpindahan musim panas nanti.

Dengan kebebasan serta kepercayaan penuh diberikan Todd Boehly terhadapnya dalam membina kembali skuad Chelsea di bawah ‘tampuk pemerintahan baharu’ itu, tidak mustahil Potter akan terus berbelanja besar bagi membawa masuk pemain berusia 24 tahun itu.

Perkembangan terkini itu disahkan Goal yang menjelaskan Mac Allister terbuka dengan pendiriannya untuk memilih kelab lebih besar pada masa akan datang dalam kariernya.

Perkara itu nyata bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana sudah pasti menjadi impian buat setiap pemain bola sepak di dunia untuk menyarung jersi kelab ternama dunia.

Selain Enzo Fernandez, Chelsea ketika ini bergantung harap kepada Matteo Kovacic dan Ruben Loftus-Cheek di jentera tengah selepas Jorginho berhijrah ke Arsenal pada jendela perpindahan musim sejuk lalu.

Tambahan pula, Thomas Tuchel yang baharu sahaja diumumkan sebagai pengendali Bayern Munich menyatakan minatnya untuk membawa Matteo Kovacic ke kelab gergasi Jerman itu.

Dengan ikatan yang terjalin antara Potter dan Alexis Mac Allister sejak pertengahan musim 2019/20, mungkinkah penjaring tujuh gol saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini akan melebarkan sayap ke Stamford Bridge?

Menarik untuk mengetahui ke mana destinasi seterusnya buat sepupu kepada pemain import Perak, Luciano Guaycochea itu.

 

 

Sumber