Hasrat wakil Asia, Korea Selatan untuk mengikut jejak langkah Jepun mara ke pusingan 16 Piala Dunia 2022 akhirnya menjadi kenyataan apabila mereka menewaskan Portugal 2-1 dalam satu perlawanan yang cukup dramatik.

Dalam perlawanan ini, skuad Taeguk Warriors dibimbing oleh Penolong jurulatih, Sergio Costa bagi menggantikan Paulo Bento yang dilayangkan kad merah kerana membantah pengadil menamatkan perlawanan ketika pasukan itu menentang Ghana.

Sebaik sahaja pengadil meniup wisel sepak mula, Portugal yang diketuai oleh bintang mereka, Cristiano Ronaldo terus melancarkan serangan ke kubu pertahanan Korea Selatan.

Hasilnya, mereka berjaya menjaringkan gol pembukaan seawal minit ke 5 menerusi rembatan Ricardo Horta selepas menerima hantaran daripada Diogo Dalot dari sebelah kanan.

Namun begitu, jaringan tersebut tidak mematahkan semangat pemain Korea Selatan untuk bangkit mencari gol penyamaan. Malah, jaringan penyamaan pada minit ke 17 oleh Kim Jin-su dibatalkan oleh pengadil kerana berada dalam kedudukan ofsaid.

10 minit kemudian, Stadium Education City kembali bergema dengan sorakan penyokong apabila pemain pertahanan Korea Selatan, Kim Young-gwon menolak masuk gol penyamaan hasil sepakan sudut yang gagal dihalang oleh benteng pertahanan Portugal.

Ronaldo nyaris menjaringkan gol kedua untuk Portugal namun penjaga gol Korea Selatan, Kim Seung-gyu beraksi cemerlang menepis percubaan itu. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bagaimanapun, Korea bangkit dengan lebih garang di separuh masa kedua dan kerap memberi tekanan kepada benteng pertahanan Portugal. Beberapa pertukaran pemain telah dilakukan bagi mengatasi masalah ketumpulan penyudah dengan memasukkan penyerang prolifik, Hwang Ui-Jo dan Hwang Hee-Chan.

Percaturan itu membuahkan hasil yang lumayan apabila Hwang Hee-Chan muncul wira selepas merembat masuk gol kedua menerusi serangan balas pada minit akhir perlawanan sekaligus menceriakan penyokong Korea Selatan yang berada di stadium tersebut.

Tidak banyak percubaan berbahaya dilakukan oleh Portugal ketika separuh masa kedua tetapi kekalahan ini tidak menjejaskan kemaraan mereka ke pusingan 16 kerana sudah mengesahkan lebih awal selaku juara kumpulan H dengan 6 mata.