Ketua jurulatih Thailand, Mano Polking jelas tidak gentar dengan sorakan padu yang bakal diberikan para penyokong Indonesia pada pertemuan kedua-dua pasukan, petang esok.

Thailand bakal berkunjung ke Stadium Utama Gelora Bung Karno pada aksi ketiga yang mana tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa ia bakal menjadi penentuan pasukan mana bakal bergelar juara kumpulan A Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Selepas mengharungi dua perlawanan setakat ini, Thailand dan Indonesia meraih maksimum tetapi skuad kendalian Polking mendahului kumpulan berikutan kelebihan defisit jaringan.

Kehangatan aksi tersebut sudah pun dirasai apabila Ketua Umum Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Mochamad Iriawan mendedahkan jualan tiket perlawanan itu cukup laris.

Sehubungan dengan itu, Polking tidak melihat keadaan itu sebagai penghalang buat anak buahnya bagi meraih kemenangan ketiga berturut-turut dalam edisi ke-13 ini.

“Dalam aspek para penyokong mereka memenuhi stadium, ia merupakan satu perkara yang cukup bagus dalam bola sepak,” ujar Polking menurut laporan dikeluarkan Goal Indonesia.

“Sama ada mereka [penyokong] di pihak lawan atau menyokong kami, ini akan membantu membuatkan keadaan stadium menjadi lebih baik.”

“Dalam pasukan Thailand, kami memiliki ramai pemain yang mempunyai banyak pengalaman merasai situasi seperti itu [kebanjiran penyokong].”

“Ia bukanlah perkara baharu buat kami. Semoga semua pemain terbiasa denga keadaan seperti ini dan bersedia untuk menghadapi perlawanan dengan Indonesia.”

“Matlamat jelas kami pada perlawanan ini adalah pulang ke Bangkok dengan membawa tiga mata,” tambah Mano Polking lagi.

Thailand yang merupakan juara enam kali kejohanan jelas tidak berdepan masalah pada dua aksi awal apabila berjaya menundukkan Brunei 5-0 dan kemudiannya Filipina menjadi mangsa dengan kemenangan 4-0.

Manakala, Indonesia pula mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Kemboja dan membelasah Brunei 7-0 di Cheras.

Kali terakhir Thailand bertemu Indonesia adalah pada perlawanan akhir Piala AFF 2020 (diadakan pada tahun 2021 dan 2022).

Thailand berjaya mencatatkan kemenangan selesa 4-0 pada aksi pertama dan kemudiannya terikat 2-2 sekali gus membolehkan skuad Gajah Perang itu menjulang trofi di bumi Singapura.