Ketua jurulatih Thailand, Alexandre Mano Polking menyifatkan pasukan mereka memiliki sedikit kelebihan menjelang aksi separuh akhir 1 Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 menentang Harimau Malaya malam ini.

Kelebihan yang dimaksudkannya ialah pengurangan sebanyak 20,000 penyokong tuan rumah disebabkan oleh penutupan 21,000 tempat duduk di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sempena Konsert Jay Chou.

Beraksi di Bukit Jalil sememangnya sukar kepada mana-mana pasukan kerana perlu berdepan sorakan padu 80,000 penyokong Harimau Malaya namun Thailand mahu manfaat kekurangan penyokong tersebut untuk mencatat keputusan positif.

“Kami harus bersedia dari segi mental bagi menghadapi perlawanan yang sukar ini di hadapan ribuan penyokong. Saya rasa kami cukup bertuah kerana adanya konsert yang membantu mengurangkan 20,000 penyokong.

“Ini situasi yang mengembirakan kami tetapi kami tahu perlawanan esok (hari ini) pasti lebih sukar dan sengit,” kata Polking di sidang media semalam.

Sebanyak 59,000 tiket yang ditawarkan kepada penyokong Harimau Malaya sudah habis terjual dalam tempoh 24 jam kelmarin.

Polking juga mahu pemainnnya mengekalkan fokus sepanjang aksi tanpa menghiraukan sorakan penyokong tuan rumah.

“Pemain kena fokus dan tidak melakukan kesilapan kerana ia akan membuatkan penonton menjerit untuk lawan membuat kesilapan.

“Saya percaya kekuatan mental pemain adalah tinggi dan mampu mengatasi halangan malam esok sebelum bermain di tempat sendiri, Selasa depan,” katanya.