Polis Merseyside mengesahkan bahawa mereka sedang melancarkan siasatan susulan insiden penyerang Manchester United, Cristiano Ronaldo kelihatan menghancurkan telefon bimbit daripada tangan penyokong di Everton.

Polis merayu saksi kejadian tampil selepas rakaman tersebut tular di media sosial. Video berudarasi beberapa saaat itu menunjukkan pemain Portugis itu memecahkan telefon bimbit dari tangan peminat Toffees dan terhempas ke tanah.

Ketika itu Ronaldo sedang menuju ke bilik persalinan bersama dengan rakan rakannya.

Ronaldo kemudiannya mengeluarkan permohonan maaf atas sikap biadapnya melalui media sosial dan menjemput penyokong muda Everton itu untuk menonton perlawanan di Old Trafford “sebagai tanda meraikan permainan adil dan semangat kesukanan”.

Jurucakap Polis Merseyside berkata: “Kami boleh mengesahkan bahawa kami sedang berhubung dengan Kelab Bola Sepak Manchester United dan Everton FC berikutan laporan mengenai dakwaan serangan pada perlawanan bola sepak di antara Everton menentang Manchester United di Goodison.”

“Ketika pemain meninggalkan padang pada jam 2.30 petang, dilaporkan bahawa seorang budak lelaki telah diserang oleh salah seorang pemain pasukan pelawat ketika mereka meninggalkan padang.”

“Siasatan sedang dijalankan dan pegawai kami sedang bekerjasama dengan Kelab Bola Sepak Everton untuk menyemak rakaman CCTV dan sedang menjalankan siasatan saksi secara menyeluruh untuk menentukan sama ada kesalahan telah dilakukan ataupun sebaliknya.”

“Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi meja media sosial Polis Merseyside melalui Twitter @MerPolCC atau Facebook Pusat Hubungan Polis Merseyside dengan menggunakan nombor rujukan 228 pada 9 April 2022.”

Ronaldo yang berusia 37 tahun kemudiannya menggunakan akaun Instagramnya untuk memohon maaf.

Dia berkata: “Tidak mudah untuk menangani emosi dalam saat-saat sukar seperti yang kita hadapi.”

“Namun begitu, kami perlu sentiasa saling menghormati, bersabar dan menunjukkan contoh kepada semua anak muda yang menggemari permainan yang indah.”

“Saya ingin memohon maaf atas keterlanjuran saya dan, jika boleh, saya ingin menjemput penyokong ini untuk menonton perlawanan di Old Trafford sebagai tanda permainan adil dan semangat kesukanan.”

Manchester United kemudian mengesahkan mereka sudah sedia maklum tentang perkara itu.

Jurucakap kelab berkata dalam satu kenyataan: “Kami menyedari insiden yang didakwa berlaku selepas perlawanan hari ini di Everton dan kelab akan bekerjasama dengan sebarang pertanyaan polis.”

Gol oleh Anthony Gordon memberikan Everton kemenangan yang sangat berharga dalam usaha mereka untuk mengelak penyingkiran sementara pada masa yang sama mematahkan harapan United untuk menamatkan saingan di kelompok empat teratas.

Baca juga artikel

EPL: Manchester City Dan Liverpool Terikat

EPL: Manchester United Kalah Lagi

Klopp: ‘Guardiola Pengurus Terbaik Di Dunia’