Awal pagi tadi, peminat bola sepak eropah dikejutkan dengan insiden tingkap bas pasukan Real Madrid dipecahkan menjelang perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah antara gergasi Sepanyol itu dengan Liverpool di Stadium Anfield.

Perlawanan itu berakhir dengan keputusan 0-0 dengan Real berjaya mara ke separuh akhir bertemu Chelsea selepas mencatat kemenangan 3-1 secara agregat.

Polis Merseyside dalam satu kenyataan rasmi telah membuka kertas siasatan untuk menyiasat kejadian itu dan mereka menemui beberapa bukti yang mengesahkan seorang penyokong tuan rumah membaling objek keras ke arah tingkap bas pasukan Real Madrid.

“Kami mengesahkan bahawa siasatan sedang dilakukan setelah bas pasukan Real Madrid diserang malam ini (awal pagi tadi),” kata ketua polis, Zoe Thornton.

“Walaupun para penyokong dinasihatkan untuk tidak hadir ke stadium, namun terdapat 400 orang penyokong telah membanjiri laluan Anfield dan pemandu mendapati ada objek dilemparkan ke arah bas mereka.

“Kami juga menyedari mengenai kewujudan gambar yang menunjukkan bahagian luar tingkap bas rosak, kaca tidak pecah dan tidak ada kecederaan yang dilaporkan.

“Seperti semua perlawanan, kami telah bekerjasama dengan kedua-dua kelab untuk memastikan keselamatan orang ramai dan pasukan itu sendiri, dan tingkah laku memalukan daripada mereka yang terlibat malam ini sangat mengecewakan dan tidak dapat diterima,” katanya dipetik dalam The Guardian. 

Liverpool dalam satu kenyataan memohon maaf diatas sikap segelintir penyokong mereka yang bertindak melakukan serangan kepada bas pasukan lawan.

“Kami mengutuk perbuatan yang menjurus kepada bas pasukan Real Madrid dirosakkan ketika ketibaan mereka di Anfield. Ia tidak dapat diterima sama sekali dan sikap segelintir individu yang amat memalukan.

“Kami memohon maaf kepada pasukan pelawat di atas insiden berkenaan. Kami akan bekerjasama dengan polis Merseyside untuk mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab,” kata Liverpool.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak eropah melalui pautan dibawah. 

Foden Mahu Pecat Pegawai Media Yang Cabar Mbappe Di Twitternya

Highlight UCL: Gol Spektakular Foden Bunuh Perjuangan Dortmund

Julian Nagelsmann Tepis Spekulasi Penghijrahannya Ke Bayern Munich