Derby paling panas di rantau Asia akan berlangsung pada hari ini dimana dua pasukan yang berseteru sejak lewat 1990an, Persib Bandung dan Persija Jakarta akan bertemu dalam saingan Liga 1 Indonesia di Stadion Gelora Bung Karno.

Pertemuan antara kedua-dua pasukan sering diwarnai dengan kekecohan serta insiden panas yang melibatkan antara pemain dan juga penyokong fanatik Persib dan Persija iaitu The Jakmania dan Bobotoh. Bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku, polis Indonesia memutuskan untuk memberikan pengawalan ketat ketika Persib menjalani sesi latihan.

Semalam, ketika pemain Persib mahu menjalani latihan di GBK, pihak polis meminta para pemain untuk menaiki kenderaan berperisai serta dikawal oleh beberapa pegawai menaiki motosikal bagi mengelakkan mereka diserang oleh sekumpulan penyokong yang ingin menimbulkan kekecohan serta provokasi.

Persib
Sumber Gambar: Detik.com
Polis Indonesia
Sumber Gambar: Detik.com

Menurut laporan Tribun News, selain memberikan pengawalan ketat terhadap Persib Bandung, pihak polis turut memberikan layanan sama kepada Persija Jakarta meskipun mereka akan bertindak sebagai tuan rumah pada perlawanan petang ini.

“Kami akan memberikan pengawalan ketat terhadap kedua pasukan sama ada ketika mereka mahu menjalani sesi latihan ataupun sedang berada di hotel masing-masing,” kata wakil Polda Metro Jaya, Argo Yuwono.

Pertembungan antara Persib Bandung dan Persija Jakarat di Stadium Gelora Bung Karno hari ini akan menjadi perlawanan pertama melibatkan kedua pasukan yang diadakan di stadium tersebut dalam tempoh lima tahun setelah sebelum ini diadakan di luar Jakarta.

Hal ini dilakukan kerana insiden panas yang sering berlaku diantara kumpulan penyokong kedua pasukan setiap kali mereka bertemu. Tahun lalu, seorang penyokong Persija, Haringga Sirla meninggal dunia setelah dibelasah oleh sekumpulan penyokong Persib. Akibatnya, kelab yang dijuluki Maung Bandung itu tidak dibenarkan beraksi di Stadium Gelora Lautan Api dan dikenakan hukuman beraksi tanpa penonton sehingga saingan Liga 1 musim 2018 tamat.