Argentina mengesahkan tempat ke pusingan 16 saingan Piala Dunia 2022 selepas berjaya menundukkan wakil daripada Eropah, Poland 2-0 pada aksi terakhir peringkat kumpulan yang berlangsung di Ras Abu Aboud, Qatar sebentar tadi.

Kemenangan penting yang dicatatkan anak buah Lionel Scaloni itu meletakkan skuad La Albiceleste tersebut ditangga teratas kumpulan C dengan enam mata.

Turun dengan barisan terkuat untuk meraih kemenangan, Argentina mendominasi permainan sebaik aksi dimulakan pengadil perlawanan dari Belanda, Danny Desmond Makkelie.

Penjaga gol Poland, Wojciech Szczęsny jelas mencuri tumpuan pada babak pertama apabila beliau kental bertahan dalam menafikan deretan percubaan berbahaya yang dijelmakan jentera serangan Argentina.

Malah ketika permainan memasuki minit ke-39, beliau juga cemerlang dalam menafikan sepakan penalti bintang dunia, Lionel Messi untuk terus menghalang gawangnya daripada dibolosi.

Bagaimanapun, langit tidak sentiasa cerah buat penjaga gol berusia 32 tahun itu apabila Argentina berjaya membuka tirai jaringan sebaik sahaja aksi separuh masa kedua bersambung.

Jaringan tersebut berpunca daripada rembatan dalam kawasan penalti oleh Alexis Mac Allister selepas menerima hantaran lintang dilakukan bek kanan, Nehuel Molina.

Bagaikan mendapat tonik susulan jaringan tersebut, Argentina terus menggandakan asakan dan kemudiannya berjaya menambah jaringan kedua menerusi Julian Alvarez.

Alvarez yang menerima lorongan baik daripada Enzo Fernandez dalam kawasan penalti tidak mensia-siakan peluang terhidang bagi mengukuhkan kedudukan pada minit ke-67.

Kedudukan 2-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk mengesahkan pertemuan Argentina menentang Australia di pusingan 16.

Bagaimanapun, kekalahan tersebut tidak menghalang kemaraan Poland untuk mengiringi Argentina berbekalkan kelebihan jaringan berbanding Mexico yang turut mengutip empat mata.

Menanti mereka di pusingan seterusnya ialah Perancis.