Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Wakil Asia, Arab Saudi gagal meneruskan rentak kemenangan dalam perlawanan kedua Piala Dunia 2022 apabila tewas 0-2 kepada pasukan eropah, Poland di Stadium Education City sebentar tadi.

Artikel Berkaitan:

Skuad kendalian Herve Renard itu menamakan Salem Al-Dawsari, pemain yang menjaringkan gol kemenangan mengejut ke atas Argentina ketika aksi pembukaan mereka di Piala Dunia sebagai kapten pasukan.

Salman Al-Faraj yang kebiasaannya bertindak sebagai kapten Arab Saudi tidak berada dalam senarai permulaan pasukan selepas mengalami kecederaan pada perlawanan pembukaan.

Poland sekali lagi diketuai Robert Lewandowski juga penyerang Barcelona yang masih memburu gol pertamanya di Piala Dunia dalam kariernya selepas gagal menyempurnakan penalti ketika pasukannya seri 0-0 menentang Mexico.

Dalam perlawanan itu, bentang pertahanan Poland terlebih dahulu diuji pada minit ke 13 namun rembatan Mohammed Kanno berjaya ditepis oleh penjaga gol Poland, Wojciech Szczęsny.

Bagaimanapun, Poland berjaya menjaringkan gol pembukaan pada minit ke 39 menerusi rembatan kencang Piotr Zieliński dalam kawasan kotak penalti.

Arab Saudi berpeluang menjaringkan gol penyamaan pada minit ke 45 namun Salem Al Dawsari gagal menyempurnakan sepakan penalti yang telah diberikan oleh pengadil selepas pemeriksaan VAR.

Saudi juga mempunyai beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol pada separuh masa kedua namun penjaga gol Poland beraksi cemerlang menafikan percubaan berbahaya mereka.

Malangnya, benteng pertahanan Saudi membuat kesilapan mudah sehingga membenarkan penyerang prolifik Poland, Robert Lewandowski mengambil kesempatan merembat masuk gol kedua pada minit ke 82.

Lewandowski meraikan jaringan dengan berlari ke arah rakan sepasukan selepas akhirnya berjaya menjaringkan gol di Piala Dunia dalam saingan kelima di pentas utama bola sepak.

Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus memastikan Poland berada di kedudukan teratas dalam kumpulan C dengan 4 mata.

Sementara itu, Argentina akan berdepan Mexico pada satu lagi saingan Kumpulan C, awal pagi nanti. Jika Argentina tewas, mereka tidak layak ke pusingan kalah mati saingan Piala Dunia 2022.