Ejen kepada pemain Perancis, Paul Pogba iaitu Mino Raiola mendedahkan pemain tengah Manchester United itu tidak begitu gembira dengan kelabnya dan kini sedang pertimbangkan untuk berhijrah ke kelab lain pada jendela perpindahan yang akan datang.

Musim ini, pemenang Piala Dunia 2018 itu telah melakukan 8 penampilan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan berjaya menjaringkan gol pertama ketika menentang West Ham sabtu lalu.

Raiola berkata peluangnya untuk beraksi dalam kesebelasan utama dengan lebih kerap sejak dua musim terakhir ini semakin terhad.

”Paul tidak gembira kerana dia sudah tidak boleh untuk menonjolkan dirinya dengan cara yang dia inginkan dan yang seperti diharapkannya.”

”Paul memerlukan pasukan baharu, angin yang baharu. Dia masih mempunyai baki kontrak untuk 18 bulan lagi dan akan tamat pada musim panas 2022 nanti,” kata Raiola dipetik dalam akhbar itali, Tuttosport.

Pogba, yang kembali dari Juventus dengan bayaran perpindahan rekod dunia ketika itu sebanyak  £89 juta (RM48.4 juta) pada tahun 2016, tidak mempunyai rancangan untuk lanjutkan kontraknya.

“Kelab tahu risiko kehilangannya, kerana ketika ini pemain itu tidak berminat untuk melanjutkan kontraknya.

“Sekiranya ada yang tidak faham, mereka tidak memahami apa-apa mengenai bola sepak,” ujar Raiola.

Pogba, yang diketepikan sejak kedatangan Bruno Fernandes, telah berulang kali meluahkan kekecewaannya terhadap kelab itu ketika tugasan antarabangsa bersama Perancis.

“Dia berada dalam situasi tidak bahagia dengan kelabnya, sama ada waktu bermain atau di luar padang,” kata ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps.

Pogba juga pernah menyatakan hasratnya untuk bermain untuk Real Madrid suatu hari nanti, terutama bermain di bawah arahan Zinedine Zidane.

Baca artikel lain mengenai Manchester United melalui pautan dibawah.

Ronaldo Bakal Berganding Dengan Cavani Dalam Skuad Manchester United?

Evra Tak Akan Panggil Liverpool Pasukan Hebat Selagi Lagi Tak Ulangi Pencapaian Manchester United

EPL: Manchester United Tak Daftar Sergio Romero Dalam Pasukan Utama