Paul Pogba telah menyelar Manchester United dalam dokumentari baharunya, dengan menyatakan bahawa kelab itu tidak pandai menjaga hati dan perasaannya.

The Pogmentary, kini tersedia untuk distrim di Amazon Prime Video. Ianya sudah menuai kontroversi terutama sekali di kalangan peminat Man United.

Dalam episod pertama siri lima bahagian, Pogba dipaparkan berada di rumahnya bersama peguam, Rafaela Pimenta. Mereka sedang berbual dengan mendiang ejennya, Mino Raiola melalui panggilan video.

Ketika itu, Pogba sedang menuju ke tahun terakhir kontraknya di kelab Old Trafford itu dan nampaknya dia tidak berpuas hati.

Ketika membincangkan masa depannya dengan peguam dan ejennya, pemain tengah Perancis itu menuduh kelab itu tidak mempedulikan perasaannya.

Raiola memberitahu Pogba bahawa kelab ‘benar-benar’ mahu mengekalkannya, kamera kemudian merakam kepada Pogba bercakap sendiri tentang perasaannya di kelab.

Dia berkata: “Ini semua untuk pemain, mereka perlu terasa penting dalam kelab mereka. Dan mereka perlu terasa penting dalam pasukan mereka. Jika anda tidak mempunyai rasa itu, ia sudah berakhir.”

Pogba kemudian ditanya apa yang menggembirakannya. Dia berkata: “Untuk berada dalam projek yang saya terlibat.”

Pogba malah menyatakan bahawa dia berdepan krisis keyakinan diri ketika berada di Man United. Dan memerlukan bola sepak antarabangsa untuk menaikkan semula keyakinan itu.

Pogba menganggap Man United bukan lagi tempat yang menyeronokkan kerana kelab tidak menjaga hatinya.

“Di sini, saya kembali daripada kecederaan, mereka tidak membantu saya, mereka tidak peduli perasaan saya jadi saya terpaksa pergi ke pasukan kebangsaan untuk mendapatkan semula keyakinan saya.”

Selain itu Pogba juga menganggap Man United tidak serius menganggapnya pemain penting apabila hanya menawarkan £300 ribu seminggu.

Pogba bertanya kepada Mino Raiola: “Adakah Manchester [United] membuat tawaran kedua?” tanya pemain tengah itu.

Raiola menjelaskan: “Ya. Mereka benar-benar mahu kamu kekal. Bagi saya, tawaran itu tidak menggambarkannya. Saya memberitahu mereka, ‘Jika kamu mahu dia kekal, jangan buat tawaran seperti itu’. ”

“Saya akan membuat mereka faham bahawa jika mereka benar-benar mahu kamu kekal dan mereka mahu membina projek di sekeliling kamu, kali ini mereka perlu bertindak secara berbeza dan meletakkan wang di atas meja,” kata Raiola lagi.