Juara Liga Super 2022, Johor Darul Ta’zim (JDT) membawa bekalan selesa ke Stadium Sultan Ibrahim apabila menewaskan PJ City 4-0 dalam perlawanan pertama peringkat pusingan 16 TM Piala Malaysia 2022.

Dalam perlawanan ini, JDT turun tanpa tonggak penyerang import, Bergson Da Silva dan turut merehatkan Fernando Forestieri. Mereka digantikan oleh dua pemain skuad kebangsaan, Safawi Rasid dan Safiq Ahmad.

Bagaimanapun, tak sampai 5 minit selepas pengadil meniup wisel sepak mula, Harimau Selatan terlebih dahulu menjaringkan gol pertama menerusi tandukan Shahrul Saad hasil sepakan sudut Arif Aiman.

PJ City cuba bangkit mencari jaringan penyamaan namun mereka berdepan masalah ketumpulan penyudah.

Malah beberapa pemain tuan rumah juga seolah-olah tidak bersemangat selepas mereka dikejutkan dengan kematian rakan sepasukan, Rajes Prumal pada minggu lepas.

Pada minit ke 39, JDT terus menjaringkan gol kedua menerusi jaringan ‘lob’ menarik oleh Safawi Rasid selepas menerima hantaran daripada Shahrul Saad. Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, PJ City bangkit lebih garang namun masih gagal menembusi benteng pertahanan Harimau Selatan yang beraksi dengan cukup cemerlang hari ini.

Namun begitu, ia tidak menghalang pelawat melakukan gerakan cantik sekaligus menjaringkan gol ketiga. Kali ini menerusi pemain gantian, Akhyar Rashid yang merembat masuk bola hantaran Leandro dalam kawasan kotak penalti pada minit ke 70.

Kemasukan Fernando Forestieri turut memberi masalah kepada PJ City dan memaksa mereka bekerja keras mengekang kemaraan pemain import dari Argentina itu.

Beliau turut menjaringkan gol keempat pada minit ke 79 selepas menerima hantaran daripada Arif Aiman dari sebelah kanan.

JDT juga bernasib baik apabila jaringan pertama PJ City dibatalkan oleh pengadil kerana didapati berada dalam kedudukan ‘offside’. Keputusan 4-0 kekal sehingga tamat 90 minit perlawanan dan ia mencerahkan peluang JDT untuk mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.

Manakala PJ City berdepan tugas sukar di perlawanan kedua kerana perlu mencari 5 gol untuk memadam defisit jaringan tersebut.