Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Kelab Bola Sepak Petaling Jaya (PJ City FC) dijangka tidak akan mengubah pendekatan mereka untuk menggunakan khidmat anak tempatan sepenuhnya tanpa kelibat pemain import dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Malaysia Football League (MFL) semalam telah membentangkan penstrukturan semula Liga Malaysia untuk musim 2023. Lebih menarik, saingan Liga Super musim depan akan memiliki 18 buah pasukan bertanding berbanding 12 pasukan.

Ada satu lagi perubahan yang mengejutkan peminat bola sepak tempatan iaitu mengenai pertambahan kuota pemain import untuk setiap pasukan yang bertanding.

MFL mengesahkan setiap pasukan dibenarkan mengambil 9 pemain import tetapi hanya 5 pemain import beraksi di atas padang manakala seorang lagi pemain berada di bangku simpanan mengikut panduan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Mengulas mengenai pembaharuan tersebut, pengendali PJ City, P. Maniam yakin pemilik kelab akan kekal dengan langkah untuk terus memberi peluang kepada bakat tempatan membuktikan kemampuan mereka dalam saingan Liga Malaysia.

“Saya rasa Dato Sri Vijay Eswaran (pemilik kelab) telah membuat satu keputusan dan saya rasa dia takkan tarik balik.

“Dia akan sambung apa yang telah dirancang. Ini bagus untuk PJ City bagi membolehkan pemain tempatan beraksi dengan lebih kerap,” kata P. Maniam ketika sidang media selepas tamat perlawanan Liga Super menentang Melaka United.

Dato Sri Vijay Eswaran dalam satu temubual bersama New Straits Times turut memahami keluhan jurulatih skuad kebangsaan yang tidak mempunyai penyerang tempatan berkualiti kerana kebanyakan pasukan Liga Super lebih mengutamakan pemain import di posisi tersebut.

“Saya percaya dengan bakat pemain tempatan. Saya mahu buktikan PJ City mampu beraksi dengan cemerlang tanpa memenuhi kuota maksimum lima pemain import (dalam Liga Super).

“Jika semua pasukan menggunakan jumlah maksimum pemain import, 60 pemain tempatan tidak akan mendapat peluang beraksi dalam kesebelasan utama pasukan.

“Tidak hairanlah jurulatih skuad kebangsaan selalu mengadu mereka tidak mempunyai pemain yang berkualiti di posisi serangan dan tengah kerana dalam Liga Malaysia posisi tersebut diisi oleh pemain import,” katanya.

Musim ini, PJ city telah membuktikan mereka mampu bersaing tanpa khidmat pemain import apabila menghuni kedudukan sembilan dalam carta Liga Super selepas mencatat 2 kemenangan dan 5 keputusan seri dalam 11 perlawanan yang diharungi.

Langkah pasukan tersebut tidak mengambil import juga menjimatkan kos operasi pasukan supaya mereka tidak mengalami masalah dari segi pembayaran gaji.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

5 Pemain Lebih Umur Termasuk 3 Pemain Import Dibenarkan Beraksi Dalam Liga Simpanan

Liga Super: Peminat Tidak Setuju Dengan Peraturan 9 Pemain Import

Liga Super 2022: Tandukan Park Taesu Pastikan Terengganu Pulang Tangan Kosong