Pemilik kelab Petaling Jaya City FC (PJ City), Dato Sri Vijay Eswaran merancang untuk mengurangkan pengambilan pemain import dalam saingan Liga Malaysia musim depan bagi memberi peluang kepada pemain tempatan mengisi posisi serangan dan tengah.

Langkah tersebut diambil kerana beliau memahami keluhan jurulatih skuad kebangsaan yang tidak mempunyai penyerang tempatan yang berkualiti kerana kebanyakan pasukan Liga Super lebih mengutamakan pemain import di posisi tersebut.

“Saya percaya dengan bakat pemain tempatan. Saya serius untuk mengurangkan bilangan pemain import dan mahu buktikan PJ City mampu beraksi dengan cemerlang tanpa memenuhi kuota maksimum lima pemain import (dalam Liga Super).

“Jika semua pasukan menggunakan jumlah maksimum pemain import, 60 pemain tempatan tidak akan mendapat peluang beraksi dalam kesebelasan utama pasukan.

“Tidak hairanlah jurulatih skuad kebangsaan selalu mengadu mereka tidak mempunyai pemain yang berkualiti di posisi serangan dan tengah kerana dalam Liga Malaysia posisi tersebut diisi oleh pemain import.

“Musim depan, PJ City kemungkinan akan menggunakan seorang atau dua orang pemain import sahaja,” katanya dalam temubual bersama New Straits Times.

dsve-and-jersey
Pemilik PJ City FC, Datuk Sri Vijay Eswaran menunjukkan jersi rasmi pasukannya. FOTO: Bussiness Today

Beliau juga mempunyai perancangan menubuhkan akademi bola sepak milik PJ City FC untuk membangunkan bakat muda tempatan dari seluruh negara dan seterusnya memberi manfaat kepada skuad kebangsaan.

“Rancangan kami ialah mempunyai sebuah akademi yang akan melahirkan pemain muda berkualiti dengan mempelajari teknik baharu dibawah tunjuk ajar barisan jurulatih berpengalaman.

“Saya mahu kelab ini menawarkan sesuatu yang berbeza dan unik dengan mendidik mereka menjadi seorang yang berguna dalam hidup. Secara keseluruhan, tujuan kami adalah untuk memperkenalkan PJ City FC kepada penyokong muda dari seluruh bandar Petaling Jaya dan menunjukkan kepada mereka keistimewaan kelab ini,” jelasnya.

70376906_754638314969481_410560643993698304_n
Antara penyokong setia kelab Petaling Jaya City FC. FOTO: PJ CIty FC

Dari segi fasiliti, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kemungkinan akan menjadi milik penuh kelab PJ City kerana pengurusan kelab tersebut merancang untuk mengambil alih gelanggang itu.

“Kami akan terus menggunakan kemudahan di Stadium MBPJ dalam saingan Liga Malaysia. Kami memang sedang menimbangkan untuk mempunyai stadium sendiri nanti dan kemungkinan juga akan mengambil alih sepenuhnya Stadium MBPJ.

“PJ City FC sekarang merupakan salah satu daripada pasukan ‘swasta’ yang beraksi dalam Liga Super dan pasukan berasaskan komuniti serta mewakili bandar Petaling Jaya,” tambahnya.

Tahukah anda, perlawanan Piala Malaysia di antara PJ City menentang PKNP FC malam ini terpaksa ditunda kerana pemain PJ City diserang virus influenza B.

Piala Malaysia: Aksi PKNP FC Menentang PJ City FC Ditunda Pada 20 September