Selepas 3 perlawanan Liga Super 2021, Kelab Bola Sepak Petaling Jaya (PJ City) masih mengekalkan rekod tanpa kalah dan kini berada di kedudukan ketiga dibelakang JDT dan Terengganu selepas mengutip 5 mata.

Lebih menarik, mereka merupakan satu-satunya pasukan yang beraksi tanpa kelibat pemain import dan telah membuka mata banyak pihak apabila menewaskan Sabah FC, 1-0 di Stadium Likas semalam.

Langkah pasukan tersebut tidak mengambil import adalah untuk memberi peluang kepada pemain tempatan membuktikan kemampuan mereka serta menjimatkan kos operasi pasukan susulan penularan wabak pandemik COVID-19 yang tidak menentu ketika ini.

Pada perlawanan semalam, pemain darah kacukan Malaysia-England, Darren Lok muncul sebagai wira apabila menjaringkan gol kemenangan pasukan pada minit ke 53 sekaligus menjadi penjaring terbanyak liga dengan 3 gol setakat ini.

Walaupun Sabah diperkuatkan oleh empat pemain import baharu iaitu Saddil Ramdani dari Indonesia, Sam Johnson (Liberia), Risto Mitrevski (Macedonia) dan Levy Madinda (Gabon) namun skuad kendalian P. Maniam langsung tidak gentar bersaing dengan mereka.

Pemilik kelab, Dato Sri Vijay Eswaran turut memahami keluhan jurulatih skuad kebangsaan yang tidak mempunyai penyerang tempatan berkualiti kerana kebanyakan pasukan Liga Super lebih mengutamakan pemain import di posisi tersebut.

“Saya percaya dengan bakat pemain tempatan. Saya mahu buktikan PJ City mampu beraksi dengan cemerlang tanpa memenuhi kuota maksimum lima pemain import (dalam Liga Super).

“Jika semua pasukan menggunakan jumlah maksimum 5 pemain import, 60 pemain tempatan tidak akan mendapat peluang beraksi dalam kesebelasan utama pasukan.

“Tidak hairanlah jurulatih skuad kebangsaan selalu mengadu mereka tidak mempunyai pemain yang berkualiti di posisi serangan dan pertahanan kerana dalam Liga Malaysia posisi tersebut diisi oleh pemain import,” katanya

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Dollah Salleh: “Saya Tidak Berpuas Hati. Saya Belum Melatih Pasukan Lagi, Cuma Ambil Alih Untuk Perlawanan Ini.”

Aksi Hambar Di Petaling Jaya, Selangor FC, KL City Berkongsi Mata

MFL Kesal Tindakan Penyokong, Anggap Mampu Beri Kesan Buruk