Malaysia akhirnya berjaya mencatatkan kemenangan dalam kempen 4th International U-19 Football Thanh Nien Tournament 2022 selepas menundukkan Myanmar 2-0 pada aksi terakhir peringkat kumpulan yang berlangsung di Stadium Binh Duong, Vietnam sebentar tadi.

Kemenangan berharga itu hadir selepas skuad negara yang dibimbing Hassan Sazali Waras mencatatkan keputusan seri 1-1 [bertemu Thailand] dan tewas 1-2 ditangan Vietnam pada dua aksi awal.

Empat mata diraih menyaksikan skuad muda negara perlu menunggu keputusan di antara Vietnam dan Thailand yang berlangsung selepas ini untuk menentukan sama ada mereka akan layak ke perlawanan akhir atau beraksi di penentuan ke-3/4 menentang Myanmar.

Situasi yang sama seperti bertemu Vietnam kembali berulang buat Nazrin Mohamad Nasir setelah beliau berjaya menemui sentuhan jaringan seawal minit kelima perlawanan.

Sepakan percuma diambil penyerang tinggi lampai itu membias terkena Moe Swe yang membuat benteng lalu mengelirukan penjaga gol, Aung Pyae Phyo untuk meletakkan skuad negara dihadapan.

Meskipun Myanmar mempamerkan aksi yang lebih kemas, barisan anak buah Soe Myat Min itu tidak mampu untuk menjelmakan serangan berbahaya ke arah pintu gol Malaysia yang dikawal Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri.

Malah, skuad negara pula yang lebih banyak mencipta peluang dengan tandukan Nazrin pada minit ke-30 sudah menewaskan Pyae Phyo ketika situasi sepakan penjuru tetapi Tun Tun Thein bertindak cemerlang menyelamatkan bola di atas garisan.

Beberapa minit kemudian, Nazrin sekali lagi memberikan ancaman selepas menerima hantaran Muhammad Adam Uwais Mohd Armi tapi rembatannya mudah ditangkap kemas Pyae Phyo.

Peluang terbaik Myanmar hadir pada minit ke-44, namun rembatan padu dari luar kawasan penalti dilakukan Ar Kar Kyaw ditepis keluar Syahmi Adib bagi menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.

Ahmad Rozaini Abu Bakar mematikan api perjuangan Myanmar pada minit ke-87 selepas percubaan bersahaja dilakukannya sudah cukup untuk memperdayakan Pyae Phyo untuk mengesahkan kemenangan 2-0 buat Malaysia.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Malaysia B-19 melalui pautan dibawah.

Piala Thanh Nien B-19: Kealpaan Saat Akhir Hampakan Skuad Negara

Piala Thanh Nien B-19: Kecemerlangan Syahmi Adib Selamatkan Skuad Negara, Seri Berdepan Thailand

Malaysia Lunas Dendam Ke Atas Laos, Muncul Juara Kejuaraan AFF B-19 2022