Meor Abdullah

Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Skuad bawah 19 tahun (B-19) negara memulakan kempen 4th International U-19 Football Thanh Nien Tournament 2022 dengan keputusan seri selepas terikat tanpa jaringan bertemu Thailand pada aksi yang berlangsung di Stadium Binh Duong, Vietnam sebentar tadi.

Membariskan sebahagian besar muka baharu, para pemain negara kelihatan sedikit bergelut untuk menyajikan aksi terbaik dengan Thailand dilihat lebih banyak menjelmakan serangan berbahaya ke kubu Malaysia sepanjang perlawanan.

Aksi yang dipamerkan anak buah Hassan Sazali Waras itu memperlihatkan mereka terlalu mudah kehilangan bola sekali gus memberikan ruang buat Thailand untuk tampil lebih hebat menguasai permainan.

Bagaimanapun, tidak keterlaluan untuk mengatakan Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri merupakan pemain terbaik perlawanan apabila beliau banyak menggagalkan peluang keemasan dimiliki Thailand.

Peluang pertama skuad kendalian Salvador Garcia itu pada minit ke-19 selepas Peeranan Buakai melakukan percubaan ‘placing’ daripada luar kawasan yang sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol skuad negara.

Berselang tiga minit kemudian, giliran Thanakrit Laorkai pula mendapat peluang terhidang, namun tandukannya setelah menerima hantaran lintang Thawarchai Aocharod sekadar melewati palang gol.

Selepas itu, Syahmi Adib menjadi pemain paling sibuk dimana beliau terpaksa menghadapi tekanan hebat diberikan jentera serangan Thailand yang dikepalai Phuwanet Thongkhui.

Lebih daripada lima percubaan tepat yang dimiliki Thailand dinafikan oleh penjaga gol berusia 19 tahun itu untuk menyelamatkan maruah Malaysia daripada tewas pada aksi pembukaan ini.

Malaysia akan bertemu tuan rumah, Vietnam pada Ahad ini bagi aksi kedua manakala Myanmar menanti untuk perhitungan terakhir peringkat kumpulan, 9 Ogos nanti.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad B-19 negara melalui pautan dibawah.

Hassan Sazali Dedah Sebab Senaraikan Ramai Muka Baharu Ke Vietnam

Azhad Harraz Tekad Bukti Kemampuan Bantu Skuad B-19 Negara

Malaysia Lunas Dendam Ke Atas Laos, Muncul Juara Kejuaraan AFF B-19 2022

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group