Kealpaan pada lewat permainan jelas mengecewakan skuad muda negara selepas mereka tumpas 1-2 bertemu Vietnam pada aksi kedua kempen 4th International U-19 Football Thanh Nien Tournament 2022 yang berlangsung di Stadium Binh Duong, sebentar tadi.

Anak buah Hassan Sazali Waras bagaimanapun bermula dengan cukup baik dimana mereka memberikan tekanan untuk memastikan Vietnam tidak dapat mengawal permainan dengan selesa.

Keadaan itu nyata membuahkan hasil apabila Nazrin Mohamad Nasir berjaya membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi percubaan ‘placing’ menarik yang menewaskan penjaga gol, Cao Van Binh.

Jaringan itu jelas meningkatkan lagi moral pemain negara untuk menambah gol kedua tetapi percubaan Nazrin selepas beliau berjaya melepasi kawalan dua pertahanan sekadar melewati palang gol pada minit kesembilan.

Berselang empat minit kemudian, giliran Azhad Harraz Arman pula menguji gawang Vietnam, namun rembatan susulan gerakan solonya ke dalam kawasan penalti ditangkap dengan kemas Van Binh.

Enggan terus ditekan dan kelihatan sudah mula menyesuaikan diri, Vietnam memperkemaskan aksi untuk menyajikan corak permainan lebih tersusun sekali gus ia mula memberikan kesukaran buat pemain negara.

Ia dibuktikan apabila skuad kendalian Dinh The Nam itu kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-28 menerusi tandukan Nguyen Duc Anh susulan situasi sepakan percuma Nguyen Quoc Viet yang pada mulanya singgah di palang gol.

Selepas itu dapat disaksikan sebahagian besar permainan didominasi Vietnam yang banyak memberikan ancaman ke kubu skuad negara.

Tekanan berterusan yang diberikan memaksa pertahanan skuad negara, Adli Ahamad melakukan kekasaran terhadap Tran Dam Phuc Thinh untuk sepakan penalti diberikan kepada Vietnam.

Khuat Van Khang yang mengambil sepakan tidak mensia-siakan peluang terhidang meskipun penjaga gol, Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri sudah dapat membaca arah sepakan untuk menghadiahkan kemenangan kedua buat Vietnam.

Kekalahan itu meletakkan skuad negara kini di tangga ketiga apabila mengumpul satu mata manakala Vietnam menggungguli tangga teratas dengan enam mata. Sementara itu, Thailand berada di kedudukan kedua manakala Myanmar yang tewas pada dua aksi awal di tangga keempat.

Lawan terakhir yang bakal dihadapi skuad negara ialah Myanmar pada Selasa nanti dan masih ada sekelumit peluang buat mereka untuk ke final sekiranya berjaya mencatatkan kemenangan sambil mengharapkan Thailad tewas ditangan Vietnam.