Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengumumkan pasukan negara itu akan berangkat ke Dubai, UAE untuk kem latihan pusat sebagai persiapan menghadapi saingan Piala Suzuki AFF 2020 yang bermula pada bulan Disember depan.

Mereka akan berada di sana selama 10 hari bermula pada 8 November hingga 17 November. Selain itu, Singapura turut akan menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa di sana menentang pasukan ranking 96 dunia, Kyrgyzstan dan pilihan Morocco.

Bagaimanapun, dua aksi persahabatan itu bukan berstatus ‘Tier 1 FIFA’ dan sebarang keputusan perlawanan tidak akan memberi pulangan dari segi kedudukan mata ranking. Ia akan menjadi medan pengendali Singapura, Tatsuma Yoshida untuk menguji kemampuan pemain baharu berdepan lawan yang kuat.

“Kem latihan ini akan memberi peluang kepada kami untuk menentang pasukan negara lain. Ini sangat penting dan menjadi sebahagian daripada persiapan kami,” kata Tatsuma dalam kenyataan rasmi.

Tatsuma turut mengesahkan beberapa pemain dari kelab luar negara termasuk pemain pertahanan Selangor, Safuwan Baharuddin akan menyertai pasukan itu di Dubai untuk menjalani latihan.

“Beberapa pemain seperti Safuwan dan Ikhsan Fandi akan menyertai kami di Dubai. Mereka sudah lama tidak bersama pasukan selama hampir 2 tahun dan kami tidak sabar untuk menanti kedatangan mereka.

“Di Dubai, kami akan menilai prestasi mereka dan memberi peluang kepada pemain untuk membentuk keserasian serta menguji keupayaan mereka dalam perlawanan,” tambah Tatsuma.

Paling menarik, Singapura kali ini mempunyai seorang pemain naturalisasi dari Korea Selatan, Song Ui-young dari kelab Lion City Sailors. Ini merupakan panggilan pertama Song Ui-young selepas mendapat status warganegara yang sah pada 20 Ogos lepas.

27 pemain yang dipilih mula menjalani latihan pusat sejak 25 Oktober 2021, dua minggu selepas tamat Liga Premier Singapura (SPL) musim 2021. Walaupun kempen Piala Suzuki AFF 2020 bermula pada 5 Disember, namun mereka membuat persiapan lebih awal untuk memastikan setiap pemain lebih bersedia dari segi fizikal dan kecergasan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Piala Suzuki AFF melalui pautan dibawah.Β 

Indonesia Berkampung Di Turki Buat Persiapan Hadapi Piala Suzuki AFF 2020

Stadium Nasional Dan Stadium Bishan Dipilih Sebagai Venue Rasmi Piala Suzuki AFF 2020

Park Hang-seo Anggap Undian Piala AFF Biasa Saja, Tiada Yang Istimewa