Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) semalam mengumumkan senarai 26 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan di Turki sebagai persiapan menghadapi Piala Suzuki AFF 2020 yang bermula bulan depan.

Salah satu nama yang berada dalam senarai itu ialah pemain pertahanan tengah kacukan Indonesia-Inggeris, Elkan Baggott dari kelab King’s Lynn Town F.C yang mempunyai ketinggian 196 cm.

Elkan yang berusia 19 tahun pernah dipanggil untuk menghadapi saingan Kelayakan Piala Dunia 2022 pada bulan lalu namun beliau tidak dapat menyertai pasukan kerana peningkatan kes COVID-19.

Selain itu, ketua jurulatih, Shin Tae-yong turut menyenaraikan beberapa pemain dari kelab luar negara seperti Ryuji Utomo (Penang FC), Syahrian Abimanyu (JDT), Egy Maulana Vikri (FK Senica), Witan Sulaeman (Lechia Gdansk), dan Asnawi Mangkualam (Ansan Greeners).

Terdapat juga seorang pemain naturalisasi kelahiran Nigeria, Victor Igbonefo yang berusia 36 tahun. Victor merupakan pemain yang paling senior dan telah menyarung jersi Indonesia sejak tahun 2013.

Kemudian, nama-nama lain diisi oleh pemain dari liga tempatan yang kerap mendapat panggilan untuk skuad kebangsaan. Antara pemain yang dipanggil ialah Evan Dimas (Bhayangkara FC) hingga Kushedya Hari Yudo (Arema FC).

Pemain pertahanan, Edo Febriansyah (Persita) dan penjaga gol, Syahrul Fadil (Tira Persikabo) adalah muka baharu yang dipanggil ke kem latihan pusat kali ini.

Mereka akan berkampung di Turki pada 18 November hingga 3 Disember 2021. Dua aksi persahabatan telah diaturkan menentang Afghanistan (16/11) dan Myanmar (25/11) sebagai medan untuk memperbaiki kedudukan ranking FIFA.

Dalam saingan Piala AFF, skuad Garuda berada dalam kumpulan B bersama Malaysia, Vietnam, Laos dan Kemboja. Semua perlawanan akan berlangsung di Singapura bermula pada 6 Disember 2021 sehingga 1 Januari 2022.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Piala Suzuki AFF melalui pautan dibawah. 

Piala Suzuki AFF: Singapura Buat Persiapan Di Dubai, Atur Aksi Persahabatan Menentang Kyrgyzstan Dan Morocco

Piala Suzuki AFF 2020: Myanmar Uji Kekuatan Indonesia Di Turki

Stadium Nasional Dan Stadium Bishan Dipilih Sebagai Venue Rasmi Piala Suzuki AFF 2020

Park Hang-seo Anggap Undian Piala AFF Biasa Saja, Tiada Yang Istimewa