Ketua jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong merancang untuk memanggil beberapa pemain yang berpengkalan dari luar negara bagi memperkuatkan pasukannya bagi menghadapi perlawanan antarabangsa serta saingan Piala Suzuki AFF 2020 yang bermula pada bulan depan.

Beliau sudah pun menghantar nama 4 pemain yang mempunyai darah kacukan Indonesia kepada Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) untuk proses dokumentasi supaya tidak mempunyai masalah menyarung jersi Garuda di perlawanan antarabangsa.

Dua nama yang didedahkan oleh Shin Tae-yong ialah Sandy Walsh dari kelab Belgium, KV Mechelen dan bekas pemain Swansea City, Jordi Amat yang kini beraksi dengan kelab KAS Eupen. Walaupun baki dua lagi nama pemain dirahsiakan oleh bekas jurulatih Korea Selatan itu namun media Indonesia mendedahkan Mees Hilgers dan Kevin Diks turut berada dalam senarai tersebut.

“Pemain ini sebenarnya bukan naturalisasi kerana mereka ada darah Indonesia. Jadi, saya sudah menghantar nama ini kepada Ketua Umum PSSI (Mochamad Iriawan). Dia akan berusaha membantunya.

“Kalau 4 pemain ini ada dalam pasukan Indonesia, pasti akan menjadi kuat. Sebenarnya masih ada lagi selain 4 pemain itu. Tapi, kita fokus dahulu kepada 4 pemain ini yang saya inginkan,” kata Shin Tae-yong kepada media Indonesia sebelum berlepas ke Turki untuk kem latihan pusat.

Sandy Walsh dan Jordi Amat sebelum ini mengakui mempunyai darah keturunan Indonesia sebelah ibu mereka dan mereka dikatakan berminat untuk menyarung jersi skuad kebangsaan Garuda. Kedua-duanya tidak pernah dipanggil menyertai skuad senior Belanda dan Sepanyol. 

Ketua Umum PSSI, Mochamad Iriawan menjelaskan pihak akan mengkaji dahulu permintaan Shin Tae-yong sebelum mengambil tindakan lanjut. 

“Saya bilang, semua pemain itu adalah hak jurulatih untuk mencari. Tidak ada pemain mengarut yang dia minta. Jadi, kita (PSSI) memang memberi kebebasan kepada Shin untuk memilih.

“Sudah tentu kita akan kaji dahulu. Boleh atau tidak dia masuk ke dalam pasukan (Timnas Indonesia),” je;as Iriawan.

Skuad Indonesia kini berada di Turki untuk kem latihan pusat sejak minggu lepas. Mereka akan menghadapi dua perlawanan persahabatan menentang Afghanistan (16 November 2021) dan Myanmar (25 November 2021).

Baca artikel lain mengenai perkembangan Piala Suzuki AFF 2020 melalui pautan dibawah. 

Piala Suzuki AFF 2020: Chanathip Songkrasin Dan Theerathon Bunmathan Kembali Sertai Skuad Thailand

Piala Suzuki AFF 2020: Hein Htet Aung Dan Aung Kaung Mann Dipanggil Sertai Skuad Myanmar

Modal Keras Menanti Ekor Harimau Malaya Ke Singapura, Kos VTL Sahaja Sekitar RM800 Seorang

Piala Suzuki AFF: Singapura Buat Persiapan Di Dubai, Atur Aksi Persahabatan Menentang Kyrgyzstan Dan Morocco

Stadium Nasional Dan Stadium Bishan Dipilih Sebagai Venue Rasmi Piala Suzuki AFF 2020

Park Hang-seo Anggap Undian Piala AFF Biasa Saja, Tiada Yang Istimewa