Seramai 24 pemain bakal dipanggil ke kem latihan pusat untuk menyarung jersi negara dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura bermula pada bulan Disember ini.

Keputusan itu telah dicapai dalam Mesyuarat Ketiga Jawatankuasa Eksekutif  Bagi Penggal 2021-2025 Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin semalam.

Jumlah maksimum yang dibenarkan oleh AFF ialah 30 orang pemain namun hanya 18 orang akan berada dalam senarai akhir ketika hari perlawanan. Senarai 24 pemain Malaysia yang dipilih ini akan diumumkan sendiri oleh Ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe dalam sidang akhbar nanti.

Bagaimanapun, skuad Harimau Malaya hanya mempunyai tempoh yang singkat untuk membuat persiapan rapi sebelum berangkat ke Singapura pada 3 Disember 2021.  Pengurus pasukan, Datuk Yusoff Mahadi berkata, pihaknya akan mengumpul pemain selepas tamat suku akhir Piala Malaysia 2021.

“Saya percaya pasukan yang akan ke final Piala Malaysia terdiri daripada pemain kebangsaan. Pemain yang terbaik dalam negara sudah pasti akan mara sehingga ke separuh akhir dan final nanti.

“Apapun, kami sudah berbincang dengan barisan kejurulatihan di mana pemain yang tidak lagi beraksi selepas suku akhir Piala Malaysia akan terus dipanggil secepat mungkin untuk persiapan skuad kebangsaan.

“Yang kemudian itu nanti kita tambah sahaja (ke dalam pasukan). Kita pun tidak banyak masa kerana selepas (final Piala Malaysia), pemain hanya bersama dua atau tiga hari sebelum kita ke Singapura. Jadi kita panggil mana-mana pemain yang tidak lagi beraksi supaya kita boleh jalankan latihan,” katanya dipetik dalam Berita Harian.

SUMBER: FAM

Malaysia yang berada dalam kumpulan B bersama Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos akan beraksi di Stadium Bishan. Satu berita baik untuk skuad negara kerana mereka tidak perlu beraksi di atas padang rumput tiruan yang kebiasaannya akan memberi kesukaran kepada pemain.

Menurut jadual rasmi, Harimau Malaya akan menentang Kemboja pada perlawanan pertama pada 6 Disember dan kemudian menentang Laos pada 9 Disember. Kedua-dua perlawanan ini berlangsung pada pukul 5.30 petang.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu akan bertemu juara bertahan, Vietnam pada 12 Disember sebelum menamatkan perlawanan di peringkat kumpulan menentang Indonesia pada 19 Disember. Dua perlawanan ini diadakan pada sebelah malam pada pukul 8.30.

AFF Cup 2020

Dua pasukan teratas dalam kumpulan akan mara ke separuh akhir yang dijadualkan pada 22 Disember hingga 26 Disember. Malah, perlawanan akhir juga berlangsung sebanyak 2 kali pada 29 Disember dan 1 Januari 2022. Semua perlawanan ini akan diadakan di Stadium Nasional Singapura.

Sepanjang 12 edisi sebelum ini, Malaysia hanya sekali pernah bergelar juara pada edisi 2010 ketika dibimbing Datuk K. Rajagobal dan tiga kali muncul naib juara iaitu pada edisi 1996, 2014 dan 2018.

Baca juga artikel lain mengenai perkembangan Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

Harimau Malaya Diberi Sasaran Layak Ke Final Piala Suzuki AFF 2020

“Tunggu Hujung Tahun Ini,” – Bapa Wan Kuzain Beri Bayangan Kemunculan Anaknya Dalam Piala Suzuki AFF 2020

Harimau Malaya Hanya Ada Tiga Hari Buat Persiapan Hadapi Piala Suzuki AFF 2020

Piala Suzuki AFF 2020: Harimau Malaya Akan Beraksi Di Stadium Bishan

Tawaran TMJ Uruskan Skuad Harimau Malaya Ditolak

FAM Tangguh Pengambilan Pemain Naturalisasi Untuk Harimau Malaya