Perlawanan bola sepak di antara Malaysia menentang Indonesia sentiasa sengit dan menghadirkan pelbagai kontroversi. Ia juga sering menjadi tumpuan ribuan peminat di seluruh Asia Tenggara serta digelar sebagai Derbi Nusantara.

Walaupun keputusan perlawanan selalunya berpihak kepada skuad Harimau Malaya, namun Indonesia kali ini menampilkan barisan yang berbeza dan tidak boleh dipandang rendah. Apatah lagi, mereka kini dibimbing oleh bekas pengendali skuad Piala Dunia Korea Selatan, Shin Tae-yong.

Malah, Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (Ketum PSSI), Mochamad Iriawan Bule turut yakin pasukan Garuda akan menewaskan Harimau Malaya untuk menempah tiket ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020 pada hari ahad ini.

“Lawan Malaysia, bismillah yakin boleh mengalahkan. Kerana Malaysia kalah 3-0 lawan Vietnam, doakan,” kata Mochamad Iriawan dipetik dalam portal Tribun-Papua.

Indonesia kini berada di kedudukan teratas dalam kumpulan B dengan 7 mata. Mereka berjaya ikat juara bertahan,Vietnam tanpa jaringan walaupun hanya dibarisi oleh pemain muda yang kurang berpengalaman.

Mengulas mengenai aksi menentang Vietnam, Iriawan mengakui mereka bermain corak bertahan kerana ketiadaan dua tonggak utama seperti Egy Maulana Vikri dan Elkan Balgott.

“Anak-anak main luar biasa, yang penting kami dapat 1 point.  Saya yakin kita boleh menang lawan Malaysia kerana berjaya ikat Vietnam tanpa dua tonggak utama kita.

“Jurulatih (Shin Tae-yong) memutuskan untuk main bertahan ketika lawan Vietnam, 5-4-1. Dalam tempoh 90 minit itu, Vietnam sukar untuk menjaringkan gol. Ada juga ‘counter attack’ yang mampu membahayakan pemain lawan.

“Ini adalah salah satu permainan terbaik daripada pemain, mereka semangat,” katanya.

Kali terakhir Malaysia bertemu Indonesia ialah pada 19 November 2019 dalam Kelayakan Piala Dunia 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Ketika itu, Garuda yang dibimbing oleh Simon McMenemy tewas 0-2 hasil jaringan Safawi Rasid.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan lain dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 melalui pautan dibawah. 

VFF ‘Tabur’ Duit Bonus Kemenangan RM181,000 Selepas Berjaya Tumbangkan Malaysia

‘Tahi Judi’ Ini Bengang Malaysia Menang Besar, Dakwa Laos Jual Perlawanan Di Singapura

Piala AFF 2020: Rekod Hebat Teerasil Dangda Serikan Kejayaan Thailand