Piala Super Sepanyol akan dilangsungkan di Arab Saudi. Dan ianya dikritik oleh pemain Athletic Bilbao iaitu Raul Garcia, yang turut akan bermain dalam aksi separuh akhir.

Bekas pemain antarabangsa Sepanyol itu berkata, tindakan menganjurkan Piala Super Sepanyol di Arab Saudi adalah tidak masuk akal.

“Ini tak masuk akal. Sangat sangat tidak masuk akan. Ianya sangat mudah, kita bermain pertandingan yang biasanya dimainkan di negara kita sendiri. Dan tidak logik untuk bermain kejohanan ini di tempat lain.”

“Tidak masuk akal langsung terpaksa bermain Piala Super Sepanyol sampai ke Arab Saudi sedangkan ianya boleh dimainkan di sini [Sepanyol].”

Raul Garcia menegaskan bahawa, pihak penganjur kini hanya memikirkan soal wang. Langsung tak memikirkan tentang penyokong kelab yang tidak dapat datang beramai ramai ke stadium untuk memberikan sokongan kepada kelab yang mereka sayangi.

Format ini pastinya akan memberikan kelebihan kepada kelab besar seperti Barcelona dan Real Madrid yang memiliki ramai penyokongd di luar negara berbanding kelab seperti Bilbao.

“Bola sepak sudah mengubah kewarasannya dan tidak seorang pun yang memikirkan tentang penyokong. Apa yang penting adalah menjana wang dan menarik penaja. Dan kita lupa tentang asas tentang bola sepak itu sendiri.”

“Atmosfera, menyaksikan bersama keluarga [dalam stadium] dan menikmati perlawanan. Mencari masa sepak mula yang sesuai dengan audien. Semuanya dah banyak berubah sejak saya mula bermain.”

Tahun ini menandakan edisi ke-40 Piala Super Sepanyol. Piala ini asalnya sama macam Perisai Komuniti di England, menjadi tanda kepada musim baharu liga bola sepak. Ianya dahulu berlangsung sebelum sepak mula liga antara juara liga dan pemenang piala domestik.

Namun pada 2019, format berubah kepada 4 pasukan bertarung separuh akhir. Melibatkan juara liga, naib juara liga serta juara dan naib juara pertandingan piala. Ketika itu pertandingan Piala Super Sepanyol dieksport ke Arab Saudi. Juara pertama edisi yang dirombak semula pada 2020 adalah Real Madrid di Stadium King Abdullah.

Musim lalu pertandingan ini kembali ke Sepanyol kerana Pandemik.

Dan musim ini dikembalikan semula ke Arab Saudi.

Real Madrid akan bertemu Barcelona pada Rabu. Manakala Atletico Madrid akan bertemu dengan Athletic Bilbao pada hari berikutnya.