Pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat mahu rakan sepasukan merantai pergerakan penyerang import Terengganu, Adisak Kraisorn apabila kedua-dua pasukan bertemu pada aksi Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.

Jordi mengakui Adisak cukup berbahaya dan beliau juga sudah membuat ‘kerja rumah’ untuk kaji corak permainan penyerang skuad kebangsaan Thailand itu berdasarkan prestasi dalam Piala AFF bulan lalu.

“Saya juga mengkaji corak permainan Adisak berkali-kali menerusi rakaman video dan dia pemain yang bagus, jadi dia tidak boleh biarkan bergerak bebas kerana mampu menjadi duri dalam daging buat JDT.

“Kami berharap dapat mengekalkan Piala Sultan Ahmad Shah buat kali keenam berturut-turut malam esok selain memburu tiga mata pertama,” katanya.

Penolong ketua jurulatih JDT, Pablo Richetti, menegaskan, segala perancangan bagi menghadapi musim 2023 begitu sempurna setakat ini termasuk lima perlawanan persahabatan pra musim di Dubai berdepan kelab-kelab dari Eropah.

Malah, beliau berasakan satu perkara yang sukar dalam memilih kesebelasan terbaik bagi bertemu Terengganu dalam usaha mempertahankan kejuaraan kali keenam berturut-turut sekaligus kali kelapan secara keseluruhan.

“Kami lihat begitu banyak kualiti yang ada dalam pasukan ini dan mereka tahu bagaimana cara untuk memenangi perlawanan, itu sangat penting.

“Selain itu, saya rasa skuad ini sentiasa mampu mengekalkan intensiti yang diperlukan bagi hadapi saingan musim ini kerana kami mahu kekalkan apa yang kami lakukan pada musim lepas.

“Sememangnya satu keputusan yang sukar dalam memilih kesebelasan utama bagi perlawanan esok selain tidak boleh abaikan peraturan yang telah ditetapkan (penggunaan kuota pemain import).

“Siapa yang akan bermain dan siapa yang tidak akan bermain akan bergantung kepada banyak faktor, kami hanya buat keputusan di saat akhir.

“Setakat ini, hanya Naxto Insa tidak boleh diturunkan tetapi yang selebihnya boleh bermain bagi berdepan Terengganu,” katanya pada sidang media pra perlawanan sumbangsih yang berlangsung semalam.

Sebagai rekod, JDT telah memenangi tujuh kejuaraan Piala Sultan Haji Ahmad Shah sejak musim 2015-2022 kecuali pada 2017 apabila tewas kepada Kedah melalui penentuan sepakan penalti (5-4) selepas terikat seri 1-1.