Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) memberi bayangan akan meninggalkan sukan bola sepak jika pasukannya tewas kepada Kuala Lumpur City (KL City) dalam perebutan Piala Sumbangsih 2022 di Stadium Sultan Ibrahim esok.

TMJ berkata demikian melalui ruang komen di laman instagram rasmi JDT yang memuat naik video promosi perlawanan itu sehingga menarik perhatian peminat bola sepak tempatan.

“Jikalau kalah esok, saya tinggalkan bola sepak sepenuhnya dan tidak akan terlibat lagi dengan apa-apa aktiviti bola sepak dalam negara,” tulisnya melalui laman instagram.

Tahun lepas, KL City mengejutkan JDT, 2-0 di perlawanan akhir sekaligus menamatkan penantian 32 tahun untuk merangkul Piala Malaysia. Kemenangan itu memastikan KL City mengesahkan tempat ke saingan Piala AFC 2022.

Peminat bola sepak tempatan menjangkakan perlawanan tersebut berlangsung sengit dan bakal saji aksi yang lebih menarik. Apatah lagi, JDT kali ini dibarisi oleh pemain import yang berkualiti berbeza daripada musim lepas.

Saingan Piala Sumbangsih kali ini diasingkan daripada Liga Super bermula musim 2022. Ia bermakna sebarang keputusan perlawanan ini tidak akan memberi sebarang mata kepada kedua-dua pasukan.

Justeru itu, ini adalah perlawanan pembukaan diantara Juara Liga Super menentang Juara Piala Malaysia untuk merebut trofi pertama pada musim 2022.

Mampukah KL City menewaskan JDT sekali lagi pada malam esok?

Perlawanan ini turut akan disiarkan secara langsung oleh RTM dalam tiga platform iaitu melalui saluran TV1, TV Okey dan Sukan RTM serta RTM Klik.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

RTM Diumumkan Sebagai Rakan Penyiar Unifi Liga Malaysia 2022

2 Musim Ditangguhkan, Saingan Piala FA Kini Kembali

Jadual Liga Malaysia 2022 Sudah Dikemaskini, Beberapa Perlawanan Akan Bermula Pukul 8.15 Malam

RASMI: Luno Diumumkan Selaku Rakan Pelaburan Kripto, Penaja Liga Super Malaysia Dan Piala Malaysia 2022