Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora menegaskan beliau akan mengikuti jejak langkah Tunku Mahkota Johor (TMJ), Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim jika pemilik kelab itu membuat keputusan untuk bersara daripada arena bola sepak Malaysia.

Sebelum itu, Tunku Ismail menerusi laman sosial Instagram semalam bertitah bahawa baginda telah bersedia untuk meninggalkan bola sepak sekiranya skuad Harimau Selatan tewas kepada Kuala Lumpur (KL) City FC dalam Perlawanan Sumbangsih Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim malam esok.

Mengulas mengenai komen yang dilontar oleh Tunku Ismail, Mora menegaskan beliau akan berusaha keras menyakinkan tokoh bola sepak negara itu supaya terus kekal dalam industri sukan nombor satu negara ini.

Jelasnya, beliau yakin bahawa bukan sahaja pengikut JDT sebaliknya hampir sebahagian besar penyokong bola sepak tempatan tidak rela Tunku Ismail bersara awal daripada arena bola sepak tempatan.

“Jika TMJ mahu keluar (bersara daripada bola sepak jika tewas kepada KL City), saya pun akan keluar.

“Namun kita mengamati maksud sebenar kenyataan TMJ, baginda sebenarnya ingin kemenangan.

“Harus diingat TMJ telah banyak berjasa kepada bola sepak Malaysia baik daripada sumbangan baginda kepada liga, kebangsaan mahupun pembangunan.

“Saya sedar ini merupakan satu perlawanan sukar dan semua orang mahu menewaskan JDT tetapi saya memiliki tanggungjawab untuk menyakinkan semua orang.

“Apa yang pasti, kami akan berusaha keras untuk kekalkan TMJ (dalam dunia bola sepak negara) buat tempoh lebih lama,” katanya pada sidang media pra Perlawanan Sumbangsih Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim.

Dalam perkembangan sama, pengendali KL City FC, Bojan Hodak turut senada dengan Mora di mana beliau tidak bersetuju Tunku Ismail mengambil keputusan untuk meninggalkan bola sepak dalam tempoh masa terdekat.

Jelas Bojan, KL City FC tetap akan mengekalkan semangat kesukanan dengan memberikan saingan hebat kepada JDT menjelang aksi malam esok tetapi beliau tidak rela melihat Tunku Ismail tiada dalam radar liga tempatan.

“Atas padang kami akan bermain dengan sebaik mungkin tetapi kami tidak mahu TMJ meninggalkan bola sepak Malaysia.

“Ini kerana baginda telah banyak berjasa dan banyak melakukan perubahan bola sepak Malaysia dan kerana bagindalah industri bola sepak berkembang dan meningkat daripada sudut komersial,” katanya.

FOTO: MFL

KL City FC mengejutkan JDT 2-0 pada final 100 Tahun TM Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, 30 November 2021.

Format Piala Sultan Haji Ahmad Shah musim 2022 tidak lagi merupakan sebahagian dari aksi Liga Super sepertimana tahun terdahulu.

Sebagai rekod, JDT yang merupakan juara bertahan Piala Sultan Haji Ahmad Shah telah memenangi trofi ini sebanyak enam kali sementara Kuala Lumpur, tiga.

Musim lalu, JDT menang menewaskan Kedah Darul Aman FC, 2-0, hasil jaringan Safawi Rasid dan Natxo Insa.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

RTM Diumumkan Sebagai Rakan Penyiar Unifi Liga Malaysia 2022

2 Musim Ditangguhkan, Saingan Piala FA Kini Kembali

Jadual Liga Malaysia 2022 Sudah Dikemaskini, Beberapa Perlawanan Akan Bermula Pukul 8.15 Malam

RASMI: Luno Diumumkan Selaku Rakan Pelaburan Kripto, Penaja Liga Super Malaysia Dan Piala Malaysia 2022