Skuad badminton Malaysia meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Piala Sudirman 2023 selepas berjaya menundukkan Chinese Taipei pada aksi terakhir peringkat kumpulan, sebentar tadi.

Kemenangan penting yang dilakarkan itu menyaksikan Malaysia kini bergelar juara kumpulan C dimana sebelum ini mereka turut menundukkan Australia dan India.

Mata pertama skuad negara dikutip pasangan beregu campuran, Che Tang Jie-Toh Ee Wei yang berjaya menewaskan Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin menerusi ‘rubber set’.

Kemenangan itu bagaimanapun tidak diraih dengan mudah apabila Tang Jie-Ee Wei tewas pada set pertama 17-21 dan kemudiannya bangkit pada set kedua dengan kemenangan 21-19 bagi mengheret aksi ke set penentuan.

Dengan semangat yang semakin membara, pasangan tersebut tidak memandang ke belakang lagi sekali gus menang 21-17 untuk memberikan mata pertama buat negara.

Lee Zii Jia kemudiannya melebarkan kedudukan buat skuad negara dengan kemenangan ‘straight set’ ke atas Chou Tien Chen. Beliau tenang menyerap tekanan berhadapan pemain perseorangan lelaki nombor lima dunia itu untuk mencatatkan kemenangan 21-14, 23-21.

Satu mata menjadi milik pasukan lawan selepas Tai Tzu Ying yang merupakan pemain perseorangan wanita nombor tiga dunia tidak berdepan masalah untuk menundukkan Goh Jin Wei 21-8, 21-10.

Namun, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang diturunkan bagi acara beregu lelaki memastikan kejayaan menjadi milik Malaysia dengan kemenangan yang dicatatkan ke atas Lu Ching Yao-Yang Po Han.

Mereka mudah mencatatkan kemenangan 21-8 pada set pertama dan kemudiannya menyerap dengan baik tekanan hebat diberikan lawan untuk menang 23-21.

Kedudukan 3-1 itu sudah cukup untuk memastikan status juara kumpulan menjadi milik Malaysia meskipun masih terdapat satu lagi perlawanan melibatkan pasangan Pearly Tan-M. Thinaah yang akan turun beraksi.