Skuad badminton negara berdepan laluan berduri dalam kejohanan Piala Sudirman 2023 apabila telah diundi bersama-sama India dan Chinese Taipei dalam undian yang diadakan di China sebentar tadi.

Kejohanan yang menghimpunkan kesemua acara melibatkan perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran dalam satu pasukan itu akan diadakan pada 14 hingga 21 Mei nanti di Suzhou, China.

Meskipun Malaysia sudah melonjak ke tangga keempat dalam ranking berpasukan dunia yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), tetapi undian yang dilakukan jelas sedikit memberikan laluan sukar buat kem negara dalam kumpulan C.

Sekiranya melihatkan kepada rekod pertemuan dengan India, lawan tersebut berjaya menundukkan skuad negara 4-1 pada peringkat kumpulan Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2023 yang berlangsung di Dubai, Februari lalu.

Namun sebelum itu, Malaysia menewaskan lawan sama di Sukan Komanwel Birmingham 2022 dengan kemenangan 3-1 hasil mata yang disumbangkan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ng Tze Yong dan Pearly Tan-M. Thinaah.

Ia memberikan indikasi jelas bahawa saingan melibatkan kedua-dua negara cukup seimbang dan menarik untuk disaksikan pertembungan Malaysia dan India.

Satu lagi lawan sukar yang perlu dihadapi Malaysia ialah Chinese Taipei. Lawan yang mempunyai wakil berkualiti tinggi dalam acara perseorangan lelaki, perseorangan wanita dan beregu lelaki sekiranya mereka menghantar skuad terkuat nanti.

Chou Tien Chen sudah pasti akan menjadi sandaran di perseorangan lelaki yang menyaksikan beliau kini berada di ranking keenam dunia. Perseorangan wanita juga tidak kurang hebatnya kerana mereka memiliki Tai Tzu Ying yang tidak perlu diperkatakan lagi mengenai kemampuan beliau.

Bagi acara beregu lelaki pula, selepas berpisahnya Lee Yang-Wang Chi-Lin, berkemungkinan Lu Ching Yao-Yang Po Huan yang kini berada di ranking ke-13 dunia menjadi sandaran buat Chinese Taipei.

Kem negara perlu memanfaatkan kelebihan berada di ranking lebih tinggi dalam sektor beregu wanita dan beregu campuran, tetapi ia bukanlah pengukur sebenar aksi di dalam gelanggang nanti.

Malaysia pernah tunduk 2-3 ditangan Chinese Taipei pada edisi 2013 yang diadakan di Stadium Putra (kini Axiata Arena) yang mana skuad negara gagal melepasi peringkat kumpulan pada ketika itu.

Satu lagi negara yang akan dihadapi dalam kumpulan C ialah Australia dan di atas kertas ia tidak seharusnya menjadi lawan sukar buat Malaysia.

Pencapaian terbaik skuad negara dalam saingan Piala Sudirman ialah pada edisi 2021 dan 2009 iaitu layak ke separuh akhir.