Skuad Badminton Malaysia meneruskan kecemerlangan dalam kempen Piala Sudirman 2023 apabila melangkah ke separuh akhir berikutan kemenangan 3-1 ke atas Denmark, sebentar tadi.

Kemenangan berharga yang diraih itu membolehkan kem negara menepati ramalan awal untuk ke pusingan empat pasukan terbaik sekali gus menyamai pencapaian edisi 2009 dan 2021.

Mata pertama Malaysia diraih oleh Chen Tang Jie-Toh Ee Wei selepas mereka menewaskan pasangan ranking ke-18 dunia, Mathias Christiansen-Alexandra Boje dalam aksi yang berlanjutan hampir satu jam.

Gandingan negara itu bagaimanapun banyak melakukan beberapa kesilapan mudah yang memberikan ruang buat Christiansen-Boje untuk memenangi set pertama 21-15.

Namun, mereka bangkit dengan aksi lebih meyakinkan pada set kedua dan kemudiannya menang 21-14 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.

Set ketiga menyaksikan gandingan yang kini menghuni ranking ke-22 dunia itu terus bernafsu dengan menampilkan corak bertenaga untuk mengesahkan kemenangan dengan 21-7.

Lee Zii Jia kemudiannya menghadiahkan mata kedua buat negara tanpa perlu bersusah-payah berikutan kecederaan hamstring dialami Viktor Axelsen ketika aksi baharu berlangsung lima minit (kedudukan 4-4).

Selepas itu, semangat juang tinggi dipamerkan pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei pada aksi menentang Mia Blichfeldt masih tidak mampu untuk menghadiahkan mata buat negara selepas beliau tewas ‘rubber set’ 14-21, 21-15, 19-21 ke atas Mia Blichfeldt.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik kemudiannya memastikan slot ke separuh akhir menjadi milik Malaysia selepas gandingan nombor satu negara itu menewaskan Kim Astrup- Anders Skaruup Rasmussen 21-17, 21-16.

Dengan kemenangan ke atas Denmark ini, Malaysia akan membuat perhitungan dengan Korea Selatan manakala China yang menundukkan Indonesia 3-0 akan bertemu Jepun dalam satu lagi aksi bagi mencari finalis edisi kali ini.