Hajat untuk melihat skuad Malaysia mara ke perlawanan akhir Piala Sudirman 2023 tidak kesampaian selepas tunduk 1-3 ditangan Korea Selatan pada aksi separuh akhir yang berlangsung sebentar tadi.

Kekalahan itu sekali gus menyamai kedudukan yang diraih skuad negara pada edisi 2009 dan 2021.

Kem negara ketinggalan pada aksi pembukaan selepas pasangan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tewas kepada Seo Seung Jae-Chae Ju Yung yang merupakan gandingan nombor lima dunia.

Tang Jie-Ee Wei bagaimanapun memulakan aksi dengan penuh bertenaga apabila tidak berdepan masalah mencatatkan kemenangan pada set pertama 21-11.

Namun, skrip berbeza dilalui selepas itu dimana Tang Jie dan Ee Wei tewas set kedua 13-21 dan kemudiannya lemah longlai pada set penentuan yang menyaksikan mereka tunduk dengan mudah 7-21.

Sandaran utama negara, Lee Zii Jia kembali menyamakan kedudukan setelah aksi cemerlang ditampilkannya berjaya menundukkan Jeon Hyeok Jin dengan kemenangan ‘straight set’ 21-11, 21-9.

Ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut dilakarkan Zii Jia ke atas Hyeok Jin dimana pertama kali mereka bertemu pada Kejohanan Badminton Asia 2022.

Korea Selatan kembali dihadapan menerusi perseorangan wanita selepas An Se Young mencatatkan kemenangan ke atas K. Letshanaa 21-10, 21-13.

Hajat untuk melihat Malaysia bangkit bagi membuka peluang ke final buat pertama kali tidak kesampaian apabila Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas kepada beregu yang baharu digandingkan oleh Korea Selatan, Kim Won Ho-Na Sung Seung 12-21, 11-21.