Skuad Malaysia bawah 22 tahun (B-22) kendalian E. Elavarasan bakal bertemu Hong Kong B-22 untuk aksi perlawanan akhir Piala Merlion 2023 di Stadium Jalan Besar pada hari esok (Ahad).

Piala Merlion merupakan kejohanan 4 penjuru jemputan Singapura dan diadakan sebagai persiapan untuk menghadapi saingan Sukan SEA pada bulan Mei nanti. Ini juga merupakan perlawanan pertama dibawah kendalian E. Elavarasan.

Hasrat tuan rumah untuk beraksi di final tidak menjadi kenyataan selepas pasukan itu tewas tipis 0-1 hasil jaringan pemain tengah Hong Kong, Ichikawa Sohgo pada minit ke 39.

Keputusan ini memberikan Philippe Aw kekalahan pertamanya sebagai jurulatih skuad Bawah 22 Tahun Singapura sejak dilantik pada awal Mac.

Singapura mencipta beberapa peluang jaringan yang baik tetapi kurang tajam di depan gawang.

Peluang terbaik Singapura pada separuh pertama adalah percubaan Rasaq pada minit ke-35, yang mana penyerang itu berjaya melepaskan diri daripada lawannya.

Tetapi, penjaga gol Hong Kong Ng Wai Him pantas keluar dari gawangnya dan beraksi cemerlang untuk menepis rembatan itu. Empat minit kemudian, Hong Kong memanfaatkan kesilapan pasukan tuan rumah.

Kekeliruan antara Aizil dan Ryaan untuk mempertahankan sepakan percuma Hong Kong menyebabkan benteng Singapura huru-hara.

Sohgo kemudian dengan mudah menyumbat masuk gol dalam gawang Singapura yang tidak diawasi untuk meletakkan Hong Kong di hadapan sebelum waktu rehat.

Singapura cuba mencari gol penyamaan dalam babak kedua namun pertahanan Hong Kong kekal teguh sehingga wisel penamat.

https://twitter.com/FASingapore/status/1639494020492845056?s=20

Hasil keputusan itu bermakna Singapura akan menentang Kemboja untuk merebut kedudukan tempat ketiga kejohanan tersebut.

Malaysia bermula dengan langkah kanan selepas menewaskan Kemboja 4-2 petang semalam sekaligus bakal menentang Hong Kong di final.