Skuad bawah 22 tahun Malaysia (B-22) bermula dengan langkah kanan selepas menewaskan Kemboja B-22, 4-2 dalam aksi pertama Piala Merlion 2023 di Stadium Jalan Besar hari ini.

Piala Merlion merupakan kejohanan 4 penjuru jemputan Singapura dan diadakan sebagai persiapan untuk menghadapi saingan Sukan SEA pada bulan Mei nanti. Ini juga merupakan perlawanan pertama dibawah kendalian E. Elavarasan.

Dalam perlawanan ini, Malaysia bermula dengan garang dan terlebih dahulu menguji benteng pertahanan Kemboja yang dibimbing oleh lagenda Jepun, Keisuke Honda pada minit ke 5 namun rembatan Aliff Izwan tersasar.

7 minit kemudian, skuad muda negara memperolehi gol pertama selepas penyerang KL City, Haqimi Azim menyudahkan hantaran cantik Aiman Afif daripada sebelah kiri.

Gol tersebut menyuntik semangat anak buah Elavarasan untuk terus mengandakan asakan dan usaha mereka membuahkan hasil apabila menjaringkan gol kedua menerusi Ruventhiran pada minit ke 30.

Namun begitu, Kemboja juga sempat menghukum kelekaan penjaga gol negara, Rahadiazli Rahalim sekaligus menolak masuk gol pertama pada minit ke 36 menerusi Lim Pisoth.

Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama namun ia tidak mematahkan semangat pemain muda Kemboja untuk terus berusaha mencari jaringan penyamaan.

Memasuki separuh masa kedua, Kemboja bangkit memberi tekanan kepada benteng pertahanan Malaysia dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Sieng Chanthea pada minit ke 50.

Bagaimanapun, jaringan tersebut tidak bertahan lama selepas pemain kacukan, Fergus Tierney kembali meletakkan Malaysia di depan pada minit ke 62 selepas merembat masuk dalam kawasan kotak penalti hasil hantaran daripada Azam Azmi.

Pada minit ke 73, giliran Najmuddin Ajmal pula menambah satu lagi gol dan memastikan skuad negara menamatkan perlawanan dengan keputusan 4-2.

Kemenangan ini juga memastikan Malaysia layak perlawanan akhir Piala Merlion yang dijadualkan berlangsung pada hari ahad ini  pada pukul 8.30 malam. Mereka akan bertemu sama ada Singapura atau Hong Kong.