Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur (KL) City buat kali kedua berturut-turut akan membawakan kejohanan Piala Menteri Wilayah Persekutuan, bersempena sambutan Hari Wilayah 2022 dan Jubli Emas Bandaraya Kuala Lumpur (1972-2022), sebagai persediaan pra-musim kempen Liga Malaysia tahun ini, pada malam ini.

Untuk edisi Piala Menteri Wilayah Persekutuan kali ini, Johan Liga Premier musim lepas, Negeri Sembilan, yang juga akan bertanding bersama skuad The City Boys di dalam kancah Liga Super tahun ini, telah berbesar hati menerima jemputan untuk bersama-sama merebut piala ini.

Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, pasukan Sri Pahang telah menyatakan persetujuan untuk menjadi lawan kepada skuad warga kota, namun atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, skuad Tok Gajah terpaksa menarik diri.

Sebagai rekod, KL City merupakan juara bertahan setelah kemenangan mengatasi pasukan Selangor FC menerusi sepakan penalti pada tahun 2021.

Sebelum aksi kedua-dua pasukan berlangsung, para penyokong akan diserikan dengan  Piala Juara Lembah Klang 2022 yang akan direbut oleh pasukan KL Legend dan X-Selangor.

Perlawanan ini akan menampilkan lagenda-lagenda bolasepak Kuala Lumpur dan Selangor, antaranya Datuk Ramlan Askolani, Shahrin Majid, Ivan Yusoff, Yuzaiman Zahari, Malek Rahman dan Nizaruddin Yusof.

Kedua-dua perlawanan ini yang akan diadakan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Bandar Tun Razak, Cheras, dijadualkan bermula pada jam 8.00 malam (KL Legends lawan X-Selangor) dan 9.30 malam (KL City lawan Negeri Sembilan).

Kehadiran penonton amat dialu-alukan dengan ketetapan kapasiti kehadiran seramai 5,000 orang, setelah mengambil kira keperluan garis panduan Covid-19 yang terkini (hanya penonton yang lengkap dos lengkap vaksinasi Covid-19 akan dibenarkan akses termasuklah bagi kanak-kanak dan remaja yang berumur 12 tahun ke atas).

Pembelian tiket bagi menyaksikan kedua-dua perlawanan adalah hanya melalui kaedah atas talian (online) sahaja di laman sesawang Ticket Hotline.

Harga tiket ditetapkan pada RM8 setiap orang untuk kedua-dua perlawanan dan setiap transaksi pembelian tiket dihadkan kepada 2 tiket sahaja setiap seorang.

Manakala, kemasukan percuma bagi setiap pemegang tiket bermusim 2022 KL City yang akan mula dijual di stadium di hadapan pintu A3 pada hari tersebut, dari jam 5.00 petang ke 7.00 malam dengan harga promosi RM332.50 untuk dewasa, RM249.99 untuk remaja dan RM229.99 untuk kanak-kanak, berbanding harga asal RM349.99.

Bagi peminat bolasepak, yang tidak dapat menghadirkan diri ke stadium, perlawanan KL City dan Negeri Sembilan akan juga disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Arena 801, bermula jam 9.00 malam.

Hasil kutipan jualan tiket akan disalurkan bagi tujuan amal yang ditentukan secara bersama oleh KL City dan KL Legends.

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group