Tugas sukar sedang menanti skuad Terengganu FC apabila mereka bakal dijadualkan bertemu juara liga super 6 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat suku akhir Piala Malaysia yang bermula pada hari Sabtu ini, 21 September 2019.

Ia merupakan ulangan aksi separuh akhir Piala Malaysia tahun lepas apabila mereka mengejutkan JDT dengan aggregat 3-2 sebelum tewas kepada Perak di perlawanan akhir.

Skuad kendalian Nafuzi Zain itu mara selaku naib juara kumpulan A dengan 12 mata selepas hasil daripada empat kemenangan termasuk ke atas PKNS FC, 2-0 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Manakala JDT masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Piala Malaysia musim ini dan tiada masalah untuk muncul sebagai juara kumpulan B dengan 16 mata.

Dalam aksi di Stadium Shah Alam, Terengganu bermula dengan garang dan terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi rembatan kencang pemain import mereka, Sanjar Shaakhmedov seawal minit ke 4.

Beraksi dalam keadaan jerebu jelas memberi kesukaran kepada PKNS FC untuk mempamerkan corak permainan sebenar. Bagaimanapun, ia bukan penghalang kepada skuad penyu yang terus garang merobek gawang tuan rumah menerusi rembatan Kipre Tchetche pada minit ke 9. Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Satu lagi aksi kumpulan A menyaksikan Kedah menewaskan Negeri Sembilan 4-2 di Stadium Darul Aman. Empat gol Kedah dijaringkan oleh Farhan Roslan pada minit ke-18, Fernando Rodriguez pada minit ke-45, Fayadh Zulkifli Amin (minit ke-78) dan Edgar Bernhardt (minit ke-90).

Gol Negeri Sembilan dijaringkan oleh Igor Luiz pada minit ke-34 dan Ferris Danial Mat Nasir pada minit ke-66.

Tahukah anda, Terengganu pernah menentang kelab dari England, Watford FC dalam satu perlawanan persahabatan.

Watford FC Berentap Dengan Pasukan Terengganu Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Pada 1982