Pasukan dari Liga Premier, PDRM FA melakukan kejutan apabila bangkit menewaskan FELDA United, 4-3 hanya dengan 10 pemain pada aksi kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat malam tadi.

Skuad kendalian jurulatih berpengalaman, E. Elavarasan itu kekurangan seorang pemain selepas Farid Ramli diperintahkan keluar padang kerana mengutip kad kuning kedua pada minit ke 53. Namun, ianya langsung tidak mematahkan semangat The Cops untuk bangkit mengutip tiga mata penuh.

Dalam perlawanan itu, FELDA United terlebih dahulu menguji benteng pertahanan lawan seawal minit pertama tetapi rembatan Jocinei Schad tersasar. Tiga minit kemudian, PDRM hampir memperolehi jaringan pertamam melalui R. Gopinanthan namun Norazlan Razali cemerlang menepis percubaan itu.

Lebih banyak menguasai babak awal permainan pelawat yang sering mengasak akhirnya membuka jaringan pertama pada minit kesembilan menerusi S Chanturu yang bijak melambung bola ke dalam jaring selepas menerima hantaran Jasazrin Razali.

Kemudian pada minit ke-18, FELDA United terus menambah derita PDRM menerusi gerakan solo import Singapura Khairul Amri melepasi empat pertahanan tuan rumah untuk tolakan ke dalam gawang The Cops menewaskan penjaga gol Shahril Saari.

Penguasaan pelawat bagaimanapun cuba dipintas tuan rumah menerusi serang balas pantas namun percubaan Uche Agba pada minit ke-27 tersasar ke kanan gawang FELDA. Akhirnya buruan gol terhasil buat anak buah E Elavarasan menerusi tandukan Patrick Ronaldinho pada minit ke-36 bagi merapatkan jurang.

Memasuki separuh masa kedua, PDRM terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain selepas Farid Ramli diperintah keluar padang sehingga membolehkan Khairul Amri (m-56) menambah gol ketiga The Fighters.

Namun beraksi dengan 10 pemain bukanlah penghalang untuk PDRM merapatkan jurang menerusi tolakannya pada minit ke-78 dan 88 sementara jaringan minit akhir Azmizi sekaligus meranapkan impian FELDA United untuk mengutip tiga mata penuh.

Keputusan 4-3 itu bermakna PDRM menjadi pasukan pertama dari Liga Premier yang menewaskan pasukan Liga Super dalam saingan Piala Malaysia musim ini.