Pemain tengah import skuad Terengganu FC, Lee Tuck enggan sekadar jadi penonton dan tetap mahu turun beraksi pada pertemuan menentang Kedah dalam saingan Piala Malaysia malam ini meskipun mengalami kecederaan.

Beliau yang juga kaptan skuad itu tidak beraksi ketika perlawanan pertama menentang PKNS FC minggu lalu kerana digantung satu perlawanan akibat layangan kad merah pada perlawanan terakhir Liga Super menentang JDT.

Bagaimanapun, beliau perlu menunggu lampu hijau daripada doktor pasukan yang akan memeriksa tahap kecederaannya hari ini dan berharap dapat diturunkan untuk memperkuatkan jentera tengah Terengganu FC.

“Pergelangan kaki saya belum pulih 100 peratus lagi, oleh itu saya perlu melakukan pemeriksaan pada pagi esok (hari ini) sebelum perlawanan berlangsung pada sebelah malam.

“Jika pegawai perubatan mengesahkan saya boleh beraksi, saya tidak akan melepaskan peluang itu, namun ia bergantung kepada perancangan barisan jurulatih,” katanya dalam Arena Metro

Lee Tuck

Sumber Gambar: TFC

Mengulas mengenai pertemuan menentang juara Piala FA itu, Lee Tuck mengakui moral rakan sepasukan kini berada ditahap terbaik selepas mencatat kemenangan pertama ke atas PKNS FC.

Namun begitu, mereka tetap berwaspada terhadap ancaman skuad Helang Merah kerana mudah untuk beraksi di tempat lawan dengan sokongan ribuan penyokongnya,

“Kemenangan menentang PKNS minggu lalu sangat bermakna biarpun tanpa saya. Saya dapat lihat kami bermula dengan baik dalam kempen Piala Malaysia, namun harus diingat perjalanan masih jauh dan banyak lagi perlawanan yang sukar menanti.

“Oleh itu bertemu Kedah, kami perlu fokus minda dan dalam masa sama pemain perlu mengikut perancangan jurulatih,” ujarnya.

APA KOMEN ANDA?

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group