Skuad Helang Merah tekad mengutip tiga mata penuh dalam saingan Piala Malaysia malam ini apabila dijadualkan bertemu Terengganu FC di Stadium Sultan Nasiruddin Shah malam ini.

Bagaimanapun, kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar mengakui ia bukan tugas yang mudah kerana Terengganu sebelum ini telah menewaskan mereka 2-0 di Alor Star bulan lepas.

“Kita tidak boleh tercicir mata lagi dalam tiga perlawanan terakhir ini kerana ia bakal menyukarkan peluang untuk ke peringkat kalah mati.

“Bermain di laman lawan memang sukar tetapi tidak kira apa cara sekali pun kita harus mencuri mata di sana,” katanya kepada Utusan Malaysia

67229992_2631756833523444_5301688131030876160_o
Pemain Kedah giat menjalani latihan. FOTO: Kedah FA

Sementara itu, penyerang import Terengganu FC, Kipre Tchetche tidak sabar turun beraksi malam ini selepas saingan Piala Malaysia direhatkan hampir tiga minggu untuk memberi laluan kepada pasukan kebangsaan.

Tchetche meledak dua gol di Alor Star untuk menundukkan tuan rumah 2-0 biarpun beraksi dengan sepuluh pemain sepanjang babak kedua selepas penjaga gol, Muhamad Ilham Amirullah Razali diperintah keluar padang kerana menerima kad merah.

“Saya sudah melalui tempoh rehat mencukupi, begitu juga rakan sepasukan. Oleh itu kami dapat membuat persediaan terbaik sebelum berdepan Kedah di tempat sendiri.

“Namun kami tidak boleh terlalu yakin dan selesa beraksi di tempat sendiri, sebaliknya bermain seperti biasa mengikut strategi diatur jurulatih bagi mengelak kekalahan,” ujar Tchetche.

Selepas empat perlawanan, Terengganu menerajui Kumpulan A dengan sembilan mata hasil tiga kemenangan dan satu kalah manakala Kedah di kedudukan kedua dengan tujuh mata.

Lagi artikel menarik berkaitan dengan perkembangan Piala Malaysia 2019, klik pautan dibawah.

Piala Malaysia: Mukhairi Ajmal Berpeluang Berada Dalam Kesebelasan Utama PKNP FC

Pahang Pasukan Pertama Ke Suku Akhir Piala Malaysia 2019