Aksi suku akhir pertama TM Piala Malaysia 2022 diantara TRW Kelantan menentang juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu dijangka menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan malam ini.

Malah, lebih 20,000 penyokong tuan rumah bakal memenuhi setiap penjuru stadium apabila jualan tiket mendapat sambutan yang hangat sejak mula dijual pada 1 November lepas.

Laman sosial rasmi TRW Kelantan turut mengumumkan semua tiket astaka yang berharga RM45 hingga RM85 telah habis dijual. Bagaimanapun, tiket terbuka dan kanak-kanak masih dijual di kaunter stadium sehingga kini.

Lebih menarik, setiap penyokong yang membeli tiket tersebut termasuk tiket terbuka yang berharga RM28 menerusi laman web tickethotline.com akan mendapat satu berger tajaan ZamBurger dan air secara percuma.

Jika semua tiket telah habis dijual, TRW Kelantan bakal memecahkan rekod jualan tiket paling tinggi pada musim ini.

 

Walaupun dilabel sebagai pasukan bukan pilihan, TRW Kelantan tidak akan beri jalan mudah kepada pihak lawan. Kelebihan bermain di halaman sendiri juga menjadi tonik tambahan kepada skuad kendalian Rezal Zambery Yahya untuk beraksi dengan lebih bersemangat.

“Ya kami telah memperbaiki beberapa kelopongan untuk perlawanan ini. Saya yakin anak-anak buah saya telah bersedia untuk menentang JDT,” ujar Rezal.

“Saya sedar haluan pasukan saya bukan mudah namun dalam bola sepak apa-apa boleh terjadi. Para pemain perlu berusaha habis habisan untuk perlawanan ini,” tambah beliau.

Bagi pertahanan berpengalaman TRW Kelantan FC, Khairul Helmi Johari, beliau begitu optimis rakan sepasukan mampu memberikan cabaran kepada pasukan lawan. Beliau juga berharap agar kelebihan bermain di halaman sendiri mampu memberikan keputusan yang positif kepada skuad The Red Warriors.

“Di atas kertas sememangnya berpihak kepada pasukan pelawat namun itu bukan alasan kami untuk tewas awal. Sasaran awal kami ke peringkat suku akhir terlah tercapai. Apa salahnya kami terus mara ke peringkat seterusnya,” kata Khairul Helmi.

“Saya dan rakan di barisan terakhir akan cuba sedaya upaya untuk menyekat asakan penyerang-penyerang lincah mereka. Pantang menyerah sebelum berlawan. Doakan pasukan kami untuk perlawanan penting ini,” tambah beliau.