Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mahu fokus membantu pasukannya melangkah lebih jauh dalam saingan TM Piala Malaysia 2022 walaupun khabar angin mengenai pemergiannya ke pasukan lain menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Walaupun Ahli Lembaga Pengarah TFC menawarkan kontrak lanjutan selama setahun berdasarkan prestasinya membawa TFC beraksi di Piala AFC 2023 selaku naib juara Liga Super 2022 namun beliau masih belum buat keputusan untuk menandatanganinya.

“Buat masa sekarang saya mahu fokus kepada saingan Piala Malaysia dalam misi membantu TFC melangkah lebih jauh sehingga pentas final,” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian.

“Terima kasih kepada Ahli Lembaga Pengarah Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd dan pihak pengurusan TFC Sdn Bhd kerana masih memberi kepercayaan kepada saya untuk membimbing pasukan TFC musim depan, saya begitu menghargainya.

“Kedudukan saya sehingga tahap sekarang pun adalah hasil peluang diberikan pihak pengurusan yang memberi tanggungjawab kepada saya membimbing skuad ini sejak tiga musim lalu.

“Lagipun pemain begitu cemerlang pada musim ini dengan kejayaan muncul naib juara Piala FA, menamatkan saingan Liga Super di kedudukan kedua serta layak beraksi di pentas Piala AFC musim depan,” jelas Nafuzi.

Sumber Gambar: Terengganu FC

Beliau dijangka akan mengumumkan destinasi pada musim depan selepas tamat saingan Piala Malaysia 2022. Sebelum ini, Nafuzi dilaporkan bakal menyertai Kedah Darul Aman (KDA FC) bagi menggantikan tempat Aidil Sharin Sahak.

Selain itu, satu lagi kelab yang berpusat di Lembah Klang turut dikaitkan dengan Nafuzi namun Kedah dilihat sebagai calon utama untuk mendapatkan khidmat jurulatih yang berusia 43 tahun tersebut.

Nafuzi diberikan tanggungjawab sebagai ketua jurulatih Terengganu pada musim 2019 dimana ketika itu beliau menggantikan Irfan Bakti yang meletak jawatan ekoran prestasi buruk dalam Liga Super.