Malaysian Football League (MFL) semalam mengumumkan tiada aksi peringkat kumpulan bagi format TM Piala Malaysia 2022 di mana semua pasukan akan diundi untuk memulakan cabaran di pusingan 16 pasukan.

Menurut kenyataan rasmi, Keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL itu dicapai selepas mengambil kira beberapa faktor khususnya kepadatan kalendar semasa dan impak kepada Piala Malaysia dengan ramalan cuaca yang membimbangkan menjelang akhir tahun yang tidak akan memberi MFL sebarang ruang untuk penangguhan sekiranya diperlukan.

Justeru, ketiadaan perlawanan di peringkat kumpulan dapat memberikan ruang dan masa kepada kelab-kelab dan juga MFL yang sekali gus mengimbangi kualiti salah satu kejohanan paling tertua di Asia itu serta dan memastikan pencegahan kecederaan pemain.

“Pada 29 September 2022, MFL telah mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Meteorologi Malaysia di mana memaklumkan bahawa akan berlaku hujan lebat pada bulan Oktober sehingga Disember 2022.

Tambahan pula, kerajaan Malaysia telah mengeluarkan peringatan bahawa akan berlaku fenomena air pasang besar yang akan menyebabkan berlakunya banjir di hampir seluruh negeri di Malaysia pada bulan-bulan yang akan datang.

“Jadual Liga Malaysia 2022 amat padat akibat penundaan beberapa perlawanan yang tidak dapat dielakkan pada awal musim 2022 disebabkan penularan Covid-19 didalam beberapa pasukan dan juga kejohanan-kejohanan penting pasukan pasukan kebangsaan.

Sehubungan itu, format TM Piala Malaysia 2022 akan dimainkan bermula daripada pusingan 16 pasukan secara timbal balik sekali gus tiada perlawanan peringkat kumpulan pada tahun ini.*

“Ini kerana sekiranya perlawanan tidak dapat dimainkan/ditunda/dihentikan akibat perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan terutamanya faktor cuaca, dengan tempoh masa yang ada, ia membolehkan perlawanan yang tidak dapat dimainkan/ditunda/dihentikan terus dimainkan pada keesokan hari atau pada mana-mana tarikh yang dirasakan sesuai oleh MFL dan turut mengambil kira faktor kebanyakan kontrak pemain-pemain bakal berakhir pada penghujung November 2022 sekiranya masih berlaku penundaan perlawanan TM Piala Malaysia.

“Dengan ketiadaan perlawanan peringkat kumpulan, jadual baru pertandingan TM Piala Malaysia 2022 akan memberikan;

i. Memberi ruang di dalam jadual sekiranya perlawanan tidak boleh dimainkan atau ditunda akibat perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan terutamanya faktor cuaca dan boleh dimainkan pada keesokan hari atau pada mana-mana tarikh yang dirasakan sesuai oleh MFL.

ii. Memberi peluang mendapat rehat secukupnya bagi mengekalkan tahap kecergasan dan prestasi pemain bagi menjamin perlawanan yang kompetitif dan juga mengutamakan pencegahan kecederaan.

iii. Memberikan pasukan lebih banyak masa untuk pengendalian logistik dan pengendalian perlawanan yang disediakan dengan baik, teratur dan selamat.

iv. Membenarkan pasukan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan padang perlawanan dapat dijalankan dengan lebih efisyen bagi memastikan keadaan padang di tahap yang terbaik.

Sekiranya Kuala Lumpur City LAYAK ke Perlawanaan Akhir Piala AFC, kejohanan TM Piala Malaysia yang menyambut ulang tahun ke-101 pada tahun ini bakal membuka tirai bermula 25 dan 26 Oktober 2022.

Sekiranya Kuala Lumpur City TIDAK LAYAK ke Perlawanaan Akhir Piala AFC, kejohanan TM Piala Malaysia yang menyambut ulang tahun ke-101 pada tahun ini bakal membuka tirai bermula 21 dan 22 Oktober 2022.

Musim ini, format TM Piala Malaysia 2022 akan menampilkan perlawanan pusingan 16 pasukan terbaik diadakan secara timbal balik disusuli aksi suku akhir (timbal balik) dan perlawanan separuh akhir (timbal balik) di mana aksi final TM Piala Malaysia bakal berlangsung di venue neutral pada 26 November 2022.