Penyerang Kuching City FC, Abu Kamara menyifatkan kekalahan tipis kepada Sabah FC pada aksi pertama suku akhir TM Piala Malaysia tidak mematahkan semangat pasukan untuk terus memburu jaringan di Stadium Likas, Jumaat ini.

Baginya, kesilapan kecil Kuching City tempoh hari membuka ruang kepada anak buah Datuk Ong Kim Swee untuk menjaringkan satu gol tetapi semestinya ia tidak memadai untuk Sabah berada dalam kedudukan selesa.

Justeru, pemain dari Liberia ini percaya dengan persediaan terbaik yang telah dilakukan ketika ini mampu untuk mengatasi ancaman Sabah meskipun sedar Kuching City bukan pasukan pilihan untuk mara ke suku akhir.

“Perlawanan yang bagus sebenarnya pada minggu lalu kerana Sabah juga hanya meraih satu gol dan kami juga telah berjuang sebaiknya cuma kesilapan kecil telah menghukum kami.

“Tetapi kali ini kami mahu ke Likas untuk menang dan kalau Sabah boleh raih satu gol, kenapa tidak kami? Dan saya percaya kami mampu melakukan sesuatu.

“Sabah memang lawan yang kuat berbanding dengan kami yang hanyalah pasukan kecil sahaja, tetapi mempunyai semangat juang yang tinggi, jadi kami sedang berusaha ke arah itu baik dari segi bertahan dan menyerang untuk cuba menang”, jelasnya kepada MFL.

 

Ini adalah pencapaian terbaik Kuching City apabila berjaya mara ke suku akhir Piala Malaysia pada musim ini.

Bagi Kamara, perjalanan pasukan ini tidak semudah yang disangka dan mereka tetap mahukan yang lebih baik untuk Kuching City bagi melakar sejarah layak ke separuh akhir pula.

“Saya memang berpuas hati dan berbangga dengan apa yang telah kami lakukan untuk pasukan ini.

“Nak mara ke suku akhir ini pun bukannya senang dan saya gembira apabila dapat menjadi sebahagian daripada pencapaian ini.

“Cuma kita perlu melakukan lebih lagi untuk cuba mencipta sejarah baru buat pasukan layak ke separuh akhir pula”, tambahnya.

Dua perlawanan kedua suku akhir bakal kita saksikan pada Jumaat ini membabitkan aksi Sabah dan Kuching City manakala Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Kelantan FC.