Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan apabila melangkah ke separuh akhir TM Piala Malaysia 2022 dengan agregat 8-0 selepas membelasah TRW Kelantan, 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim.

Pesta gol Harimau Selatan bermula seawal minit ke 12 menerusi Bergson yang mudah memperdayakan bentang pertahanan Kelantan lalu melepaskan rembatan leret di kawasan kotak penalti.

Kelantan yang tewas 0-3 pada perlawanan pertama di Kota Bharu cuba bangkit namun terdapat jurang yang besar dari segi kualiti pemain sehingga tidak mampu bersaing dengan pemain JDT.

20 minit kemudian, Bergson sekali lagi menjaringkan gol kedua menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti yang hanya mampu disaksikan oleh penjaga gol Kelantan.

Tidak cukup dengan itu, Bergson terus menambah gol ketiga dua minit kemudian untuk melengkapkan jaringan Hatrik apabila merembat masuk hantaran daripada Akhyar Rashid dari sebelah kanan.

Ini adalah jaringan ke 44 beliau secara keseluruhan bersama JDT pada musim ini. Jumlah jaringan ini turut meletakkan beliau sebaris bersama bintang terkemuka, Kylian Mbappe dan Erling Haaland dalams senarai 5 penjaring gol terbanyak dunia.  

Pada minit ke 40, JDT terus menambah derita Kelantan namun kali ini menerusi jaringan cantik Syahmi Safari yang merembat masuk dari luar kotak penalti hasil umpanan daripada Akhyar Rashid.

Gol ini menyerupai jaringan pemain pertahanan Perancis, Benjamin Pavard ketika Piala Dunia 2018 menentang Argentina.

Tidak banyak percubaan berbahaya yang mampu dilakukan oleh jentera serangan Kelantan dan mereka seolah-olah terkena ‘kejutan budaya’ beraksi di atas rumput jenis Zeon Zoysia di Stadium Sultan Ibrahim.

Bagaimanapun, situasi itu membuka ruang kepada JDT untuk terus menyerang dan mereka berjaya menambah gol kelima menerusi Nazmi Faiz Mansor.

Keputusan 5-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama. Tiada penambahan jaringan yang berlaku di separuh masa kedua sekaligus mengesahkan tiket separuh akhir menjadi milik JDT.

Harimau Selatan akan bertemu Sabah di peringkat separuh akhir pada 15 dan 19 November ini.