Aksi separuh akhir Piala Malaysia 2022 diantara Selangor FC (SFC) menentang Terengganu FC (TFC) pada malam ini dijangka berlangsung sengit kerana dua-dua pasukan masih belum tewas dalam 5 perlawanan terakhir setakat ini.

Sejak dibawah kendalian ketua jurulatih baharu, Tan Cheng Hoe, Selangor mempamerkan peningkatan prestasi dalam setiap perlawanan sehingga berjaya mara ke peringkat suku akhir.

Perkembangan itu turut disokong oleh bekas jurulatih Terengganu, Irfan Bakti yang menyifatkan skuad gergasi merah mampu mara ke perlawanan akhir tahun ini.

“Sejak akhir-akhir ini, kalau kita lihat Selangor telah bangkit dan semenjak Tan (Cheng Hoe) ambil alih (mutu permainan) mereka bertambah baik, menjadi sebuah pasukan yang mampu mencabar slot final. Perubahan ketara ialah dari segi corak permainan lebih segar.

“Mereka juga ada pilihan pemain yang ramai selepas semua kembali (bebas) daripada kecederaan. Bagi saya Terengganu tak boleh rasa selesa dengan dua kemenangan dalam liga, kerana perkara itu boleh menghukum mereka. Jadi saya anggap (aksi) ini 50-50,” katanya kepada Berita Harian.

Selangor terlebih dahulu akan melayani kunjungan Terengganu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya sebelum bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak bagi aksi timbal balik pada 21 November.

Berdasarkan rekod Liga Super musim ini, Terengganu melakar kemenangan 2-0 dalam kedua-dua perlawanan menentang Selangor, selain menyingkirkan lawannya itu di peringkat separuh akhir Piala FA menerusi penentuan sepakan penalti dengan keputusan 4-2 selepas terikat 1-1, Ogos lalu.

Walaupun berdepan isu dalaman dengan pihak pengurusan, jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain menegaskan fokus pasukannya tidak terjejas dan mereka tekad buru tempat ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

“Saya percaya pemain mampu mengekalkan momentum kemenangan dan kekal fokus untuk memberikan yang terbaik. Ini dibuktikan pada aksi terdahulu kerana kita mahu penamat aksi musim ini dengan noktah yang menggembirakan buat semua.

“Namun saya tidak menafikan laluan ke final begitu mencabar. Bertemu dengan Selangor perlawanan yaang sukar, ditambah pula kita tahu sejarah skuad itu dalam saingan Piala Malaysia. Mereka bertambah baik selepas diambil alih Cheng Hoe.

“Corak permainan skuad itu pun nampak lebih tersusun, ditambah pasukan itu mempunyai pemain yang berkualiti. Walaupun kita pernah bertemu pada aksi separuh akhir Piala FA, tapi pertemuan ini nanti berbeza lebih-lebih lagi kali pertama bertemu bawah kendalian Cheng Hoe,” katanya.