Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) membawa kelebihan jaringan di tempat lawan menjelang aksi kedua nanti apabila terikat 1-1 bertemu Terengganu FC (TFC) pada aksi separuh akhir pertama TM Piala Malaysia 2021 yang berlangsung sebentar tadi.

Membariskan skuad terkuat pada perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak ini, kedua-dua pasukan menampilkan corak permainan pantas dalam usaha memburu kemenangan.

Tempoh 10 minit awal menyaksikan skuad kendalian Nafuzi Zain kelihatan begitu bersemangat untuk mendapatkan jaringan dengan melancarkan beberapa serangan awal ke kubu JDT yang dikawal Farizal Marlias.

Ia jelas dibuktikan apabila usaha mereka membuahkan hasil seawal minit kelapan apabila peledak berbisa, Jordan Mintah berjaya menanduk masuk bola setelah beliau menerima umpanan lintang cantik daripada Lee Tuck untuk meletakkan tuan rumah di hadapan.

Tersentak dengan jaringan pantas tersebut, JDT tampil dengan lebih kemas untuk lebih menguasai permainan dan hampir menyamakan kedudukan berselang tiga minit kemudian menerusi Bergson da Silva.

Penyerang kelahiran Brazil itu menggunakan kelincahannya untuk meledakkan rembatan leret dari luar kawasan penalti tetapi percubaan tersebut sekadar singgah di tiang gol ketika penjaga gol Terengganu, Suhaimi Husin sudah pun tertewas.

JDT yang terus menjelmakan serangan berbahaya ke kubu tuan rumah mendapat dua peluang terbaik hasil percubaan Arif Aiman Mohd Hanapi dan Bergson dalam kawasan penalti.

Bagaimanapun, Suhaimi jelas tangkas bagi menafikan dua percubaan berbahaya tersebut sekali gus memastikan gawangnya tidak dibolosi pada aksi separuh masa pertama.

Kecemerlangan penjaga gol berusia 27 tahun itu terhenti pada minit ke-50 apabila Bergson menyudahkan peluang dimiliki dalam kawasan penalti susulan lorongan baik dilakukan Arif Aiman untuk kembali menyamakan kedudukan.

Aksi selepas itu menyaksikan usaha kedua-dua pasukan untuk mendapatkan jaringan kemenangan tidak berhasil untuk keputusan 1-1 itu kekal hingga tamat permainan.

TFC akan berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Khamis ini untuk perhitungan kedua bertemu JDT yang pastinya menarik untuk disaksikan.

Teruskan membaca artikel-artikel lain seperti dibawah.

Harapan Tinggi Penyokong Tak Beri Tekanan Buat Romel Morales

Karsten Neitzel ‘Turun Pangkat’ Sebagai Penolong Ketua Jurulatih Selangor

Lim Teong Kim Calon Ketua Jurulatih Sri Pahang