Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Kuala Lumpur City FC menamatkan penantian 32 tahun untuk melangkah ke perlawanan akhir selepas berjaya menundukkan Melaka United 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas aksi 120 minit aksi separuh akhir kedua TM Piala Malaysia 2021 yang berakhir dengan terikat 2-2.

Sepak mula perlawanan yang ditunda hampir sejam selepas bekalan elektrik terputus sebanyak dua kali di Stadium Hang Jebat itu nyata tidak merentap semangat juang        kedua-dua pasukan untuk menyajikan aksi bertenaga.

Malah kedua-dua pasukan yang terikat 1-1 pada aksi pertama di Cheras tempoh hari menjelmakan corak permainan saling berbalas serangan sehingga ke masa tambahan.

Tuan rumah bermula dengan baik apabila mendapat peluang hasil rembatan Giovane Gomes Da Silva dan Sony Norde, namun penjaga gol Kuala Lumpur City, Kevin Ray Mendoza Hensen tidak berdepan masalah untuk menafikan percubaan tersebut.

Penyokong Melaka United terdiam buat seketika apabila Kuala Lumpur berjaya membuka tirai jaringan pada minit kesembilan selepas J. Partiban mudah menolak masuk bola berikutan situasi kelam-kabut di hadapan pintu gol untuk menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.

Perlawanan selepas itu kembali didominasi skuad kendalian Zainal Abidin Hassan yang beberapa kali cuba memberikan ancaman berbahaya ke kubu Kuala Lumpur tetapi penyudah daripada Sony, Adriano Aparecido dan Ahmad Syamim Yahya tidak begitu tajam untuk menembusi kawalan Kevin Mendoza.

Anak buah Bojan Hodak memulakan separuh masa kedua dengan baik selepas Paulo Josue yang berada dalam kawasan penalti mendapat umpanan cantik daripada Zhafri Yahya, bagaimanapun tandukan ketua pasukan tersebut sedikit melewati palang.

Jaringan penyamaan yang dinantikan Melaka United akhirnya menjelma pada minit ke-65 apabila Syamim berjaya menolak masuk bola hasil umpanan menerusi tandukan dilakukan Mohd Akmal Md Zahir bagi melonjakkan kegembiraan buat penyokong tuan rumah.

Aksi selepas itu semakin menarik dengan permainan terbuka diteruskan oleh kedua-dua pasukan tetapi usaha mereka tidak membuahkan hasil membuatjab perlawanan berlanjutan ke masa tambahan.

Kedudukan agregat 2-2 itu terus kekal sehingga tamat 30 minit masa tambahan sekali gus pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Impian Melaka United untuk mara buat pertama kali ke perlawanan akhir Piala Malaysia hancur berkecai apabila sepakan Giovane sekadar singgah di palang gol manakala sepakan Giancarlo Gallifuoco memastikan KL City menempah slot pertemuan dengan JDT pada 30 November nanti.

Sepakan penalti:

Kuala Lumpur City

1) Paulo Josue (Gol)

2) Romel Morales (Gol)

3) Indra Putra Mahayuddin (Gol)

4) Hadin Azman (Gol)

5) Giancarlo Gallifuoco (Gol)

Melaka United

1) Adriano Aparecido (Gol)

2) Manuel Ott (Gol)

3) Giovane Gomes Da Silva (Gagal – Terkena palang gol)

4) Sony Norde (Gol)

 

 

Anda Mungkin Suka

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group