20,000 penyokong dijangka akan membanjiri Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir TM Piala Malaysia 2021 antara Terengganu (TFC) menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Malah, tiket perlawanan kedua-dua aksi timbal balik yang dijual secara dalam talian melalui laman web tickethotline turut habis dijual sejak jualan dibuka pada hari jumaat lepas.

“Pihak Terengganu Football Club Sdn Bhd telah membuat pembahagian tiket sebanyak 19,500 kepada penyokong tuan rumah dan selebihnya kepada penyokong pelawat.
Penjualan tiket yang dibuka secara atas talian pada 19 November 2021 (Jumaat) jam 3.00 petang telah habis dijual termasuk bagi bantuan kaunter tiket yang telah dibuka di beberapa tempat,” tulis kenyataan rasmi daripada TFC.

JDT turut mengesahkan tiket perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim pada 26 November ini turut habis dijual dalam tempoh kurang dari 7 jam.

“Terima kasih diucapkan kepada semua penyokong JDT yang menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kelab. Sila pastikan anda mematuhi SOP yang ditetapkan dan jumpa anda di Stadium Sultan Ibrahim.,” kata kenyataan rasmi.

Para penyokong juga wajib membawa Kad Pengenalan atau passport asli bersama tiket perlawanan bagi tujuan pengesahan. Penonton yang tidak membawa kad pengenalan atau passport asli tidak dibenarkan masuk ke stadium.

Berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, setiap penyokong akan dibahagikan tempat duduk mengikut zon di dalam stadium yang telah ditetapkan dan dipisahkan dengan jarak 1.5 meter.

Hanya penyokong sudah lengkap divaksinasi boleh masuk ke stadium selain wajib memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan minum sepanjang berada di stadium.

Kanak-kanak bawah umur 18 tahun yang belum lengkap vaksinasi tidak dibenarkan berada di stadium mengikut SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dan juga SOP-SOP kebenaran penonton masuk ke stadium pada April lalu.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah. 

Piala Malaysia 2021: Kuala Lumpur City Dihukum Bermain Tanpa Penonton

Michael Feichtenbeiner Diumumkan Sebagai Ketua Jurulatih Selangor Untuk Tahun 2022

TMJ: “Kalau Setakat Upgrade Fasiliti Sikit, Jual Baju Dan Buat Video, Real Chukai FC Pun Boleh Buat.”