Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan insiden penyokong yang menceroboh masuk ke dalam kawasan padang dalam aksi suku akhir kedua TM Piala Malaysia 2021 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras semalam (18 November 2021) telah dikemukakan kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, insiden yang berlaku ketika membabitkan perlawanan di antara Kuala Lumpur City FC dan Selangor FC itu telah melanggar peraturan MFL berkaitan peraturan Prosedur Operasi Standard (SOP) Penonton Perlawanan TM Piala Malaysia dan Manual Liga Malaysia 2021.

Jelas lagi Stuart, insiden itu juga menyaksikan pasukan tuan rumah didapati bersalah melanggar peraturan SOP Penonton Perlawanan TM Piala Malaysia dengan dibaca Bahagian 3 (v) SOP di mana penonton atau penyokong telah dikehendaki mengamalkan penjarakan fizikal.

“MFL telah menerima laporan bahawa ada sebahagian penyokong telah melompat pagar dari tempat duduk penonton dan berlari ke arah padang untuk meraikan kemenangan bersama pasukan.

“Sehubungan itu, pasukan tuan rumah telah didapati bersalah kerana melanggar Peraturan SOP Penonton Perlawanan TM Piala Malaysia; Bahagian 3 (v) SOP dan melanggar Manual Liga Malaysia 2021; Artikel 4.7.2,” katanya dalam kenyataan.

Dalam perkembangan sama, Stuart mengesahkan bahawa MFL telah meminta pihak Kuala Lumpur City FC yang bertanggungjawab sebagai pasukan tuan rumah mengemukakan surat tunjuk sebab berhubung insiden pencerobohan penyokong masuk ke kawasan padang.

“Pihak MFL telah menerima surat balas daripada Kuala Lumpur City FC pada hari ini di mana Ahli Lembaga Pengarah MFL bersepakat memutuskan Kuala Lumpur City FC dikenakan hukuman perlawanan tanpa penonton untuk perlawanan separuh akhir pertama TM Piala Malaysia 2021 yang berlangsung pada 22 November 2021 dan Kuala Lumpur City FC telah bersetuju serta mengambil keputusan untuk tidak menjual tiket bagi aksi separuh akhir TM Piala Malaysia 2021,” katanya.

Sementara itu, Stuart turut mengumumkan keputusan insiden penyokong memasuki kawasan padang ketika melibatkan perlawanan Selangor FC dan Terengganu FC pada peringkat Kumpulan C di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 7 November 2021.

“Sekretariat MFL telah menerima laporan bahawa beberapa pemain Terengganu FC tidak mengekalkan penjarakan sosial dengan penyokong dan telah berlari ke arah penyokong untuk meraihkan gol kedua Terengganu FC.

“Beberapa penyokong turut didapati telah melompat pagar dari tempat duduk penyokong dan pergi ke arah padang untuk meraikan gol dengan pemain Terengganu FC. Terengganu FC telah melanggar Bahagian 3(v) SOP Kemasukan Penonton Perlawanan TM Piala Malaysia 2021, yang menyatakan bahawa penonton hendaklah mengekalkan penjarakan fizikal.

“Sekretariat MFL turut mendapati Terengganu FC telah melanggar Klausa 4.7.2(i) (f) (5) Peraturan Pertandingan dalam Manual Liga Malaysia yang menyatakan bahawa kelakuan penyokong atau penonton hendaklah tertib.

“Ahli Lembaga Pengarah MFL memutuskan Terengganu FC diberikan amaran keras dan dinasihatkan supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut bagi mengelak daripada dikenakan hukuman lebih berat,” ujarnya.

Baca artikel lain tentang perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah. 

Pemuda PAS Mohon Maaf Kepada TMJ Kerana Sikap Nakal Sanusi

Kerteh FC Jual Beras Sebagai Produk Terbaharu Kelab, Kerjasama Dengan IKS Tempatan Untuk Kukuhkan Jenama

KL City Rancang Naturalisasikan Romel Morales

Tidak Sengaja Pijak Kaki Amri, Syamim Yahya Mohon Maaf

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group